Sebanyak 85,000 keluarga dalam golongan pendapatan rendah (B40) di Selangor bakal menikmati perlindungan kesihatan menerusi Skim Insurans Peduli Sihat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu bertujuan membantu meringankan beban golongan berkenaan khususnya bagi menerima rawatan asas serta pelbagai manfaat perlindungan kesihatan.

"Rakyat Selangor khususnya daripada kumpulan B40 yang berpendapatan isi rumah bawah RM2,000 sebulan dan menepati syarat kelayakan Skim Peduli Sihat boleh mendapatkan rawatan asas secara percuma sejak diperkenalkan pada 24 Januari 2017.

"Lanjutan daripada itu, pada 1 April 2020 kerajaan negeri telah mengumumkan penambahbaikan program ke Skim Insurans Peduli Sihat sebagai salah satu Pakej Rangsangan Selangor Prihatin yang turut menyediakan empat perlindungan kesihatan termasuk bantuan pengebumian (RM1,000).

Amirudin berkata, usaha itu bertujuan membantu meringankan beban golongan B40 dalam menerima rawatan asas serta manfaat perlindungan kesihatan.

"Selain itu, skim ini turut menyediakan perlindungan kemalangan diri (RM5,000); perlindungan penyakit kritikal (RM5,000) dan Insuran nyawa/hayat (RM5,000)," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Amirudin menambah, usaha itu mampu mengurangkan kesesakan di klinik atau hospital kerajaan, di samping membantu meningkatkan tahap sosio-ekonomi keluarga berpendapatan rendah.