PUTRAJAYA: Pelbagai inisiatif dan agenda direncana Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sepanjang tahun ini bagi memartabatkan industri tersebut, sekali gus memastikan kelangsungan hidup pemain industri termasuk petani, penternak dan nelayan.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ini termasuklah meminta Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) mengepalai usaha bagi memperkenalkan skim perlindungan insurans pertanian atau agromakanan kepada kumpulan sasaran tersebut di seluruh negara.

Beliau berkata skim perlindungan itu bakal menyediakan beberapa pilihan perlindungan takaful kepada pencarum yang ditimpa musibah sama ada bencana, serangan penyakit, ketidaktentuan cuaca yang menyebabkan berlakunya pengurangan hasil pengeluaran dan menjejaskan pendapatan.

"Tidak ada satu pun syarikat insurans di Malaysia menawarkan dasar atau polisi insurans untuk sektor pertanian sedangkan negara pertanian lain seperti Vietnam, Filipina, China dan juga Indonesia mempunyai skim insurans tersebut di negara masing-masing.

"Maka, skim insurans yang akan diperkenalkan ini merupakan pelan yang dalam perancangan serius oleh kementerian dan kita harapkan ia akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat ini.

"Pihak industri sendiri digalakkan untuk menawarkan model-model yang bersesuaian bagi skim insurans pertanian ini," katanya kepada media ketika membentangkan pencapaian setahun kementeriannya semalam.

Ronald berkata untuk permulaan Agrobank akan mengepalai usaha untuk merangsang pertumbuhan industri insurans pertanian ini, yang mana kementerian juga tidak menghalang pemain insurans lain untuk melihat keperluan mewujudkan polisi insurans itu.

Beliau berkata oleh kerana ketiadaan insurans pertanian, kerajaan terpaksa memperuntukkan sebanyak RM80 juta di bawah Tabung Bantuan Bencana Agromakanan bagi membantu pesawah, petani dan penternak yang kehilangan hasil akibat bencana alam di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Tabung tersebut digunakan untuk membantu dan meringankan beban mereka yang berhadapan dengan kerosakan akibat bencana alam namun ini adalah angka yang amat besar yang harus ditanggung oleh kerajaan saban tahun.

"Maka kementerian melihat perlunya ada satu bentuk insurans bagi industri tersebut... apatah lagi kalau kita bercakap tentang padi sawah berskala besar... insurans pertanian itu pastinya akan menjadi keperluan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata inisiatif tersebut secara tidak langsung dapat mengekalkan penglibatan petani, penternak dan peladang dalam menjamin keselamatan bekalan makanan serta pada masa yang sama merupakan salah satu bentuk bantuan bagi memelihara kebajikan mereka.

Sementara itu, Ronald berkata perancangan program utama yang lain kementerian itu pada tahun ini ialah Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) 2021-2030 yang sedang dalam proses penggubalan akhir dan bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata menerusi DAN 2.0, kementerian itu akan menyusun semula keutamaan dalam menggerakkan teras-teras utama bagi memperkasakan sektor pertanian dan industri makanan melalui kerangka yang bertunjangkan prinsip yang spesifik.

"Iaitu memacu sektor agromakanan agar berdaya saing tinggi dan inovatif, memastikan kebajikan petani, nelayan dan penternak terus dibela serta menjamin pengeluaran makanan yang mampan bagi padi, buah-buahan, sayur-sayuran, ternakan dan perikanan," katanya.

Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara pula merupakan rujukan dan panduan bagi penjawat awam serta pihak berkepentingan berkaitan pengurusan isu sekuriti makanan negara akan turut akan dilancarkan tahun ini.

Beliau berkata pelan tindakan tersebut akan mengukuhkan sekuriti makanan negara dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI).

Ronald berkata Pelan Pembangunan Perikanan Negara 2021-2030 juga akan diperkenalkan yang merangkumi dasar dan pelan strategik transformasi sektor itu dengan memberi tumpuan kepada pendekatan baharu serta penambahbaikan secara berterusan melalui strategi jangka pendek, sederhana dan panjang.

"Faedahnya, pembangunan sektor perikanan pada masa hadapan akan mengambil kira kemampanan sumber sedia ada serta memastikan rakyat mempunyai akses kepada sumber makanan yang berkhasiat dengan harga yang berpatutan.

"Ia juga akan meningkatkan sumbangan sektor perikanan kepada pendapatan negara serta sosioekonomi nelayan dan pengusaha akuakultur dengan penekanan kepada pengurusan sumber, pembangunan nelayan dan pengukuhan rantaian nilai," katanya.

Beliau berkata tahun ini juga akan menyaksikan pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030 serta perancangan pembangunan baharu bagi pembangunan dan pengurusan tuna yang lebih komprehensif dan berdaya saing.

"Faedahnya adalah pembangunan industri tuna yang berdaya saing sebagai salah satu sumber kekayaan baharu kepada pemain industri perikanan, yang mana industri ini berpotensi untuk dikembangkan di peringkat kebangsaan dan juga mempunyai permintaan yang amat tinggi di luar negara," katanya.

Ronald berkata pada tahun ini juga, dua program terbesar akan dianjurkan iaitu Pameran Pertanian, Hortikulturn dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2021 dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2021.

"MAHA 2021 dan HPPNK 2021 dijangka dapat menarik lebih daripada 100,000 penyertaan hibrid serta berpotensi dalam menyumbang kepada sasaran nilai jualan lebih RM300 juta termasuk padanan perniagaan," katanya.

-- BERNAMA