GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan memperluas Skim Strata Bebas Kenderaan Usang ke seluruh negeri, selepas projek perintis yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sejak September, menunjukkan perkembangan positif dalam menangani lambakan kenderaan terbiar di kawasan perumahan strata.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye berkata Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), telah mula mengkaji pelaksanaan inisiatif sama di Seberang Perai dengan pendekatan yang selaras seperti yang sedang dilaksanakan di bahagian pulau.
Beliau berkata bagi memperkukuh pelaksanaan skim itu, kerajaan negeri akan melantik syarikat Authorized Automotive Treatment Facility (AATF) yang berlesen dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi tender terbuka, yang dijangka dimuktamadkan sekitar Oktober ini.
“Selepas pelantikan itu selesai, kerajaan negeri menyasarkan kutipan antara 20 hingga 30 kenderaan usang setiap bulan, khususnya di kawasan strata yang berdepan masalah lambakan kenderaan serta kenderaan yang dialihkan pihak berkuasa tempatan (PBT), susulan aduan di kawasan awam,” katanya kepada Bernama.
H’ng berkata sejak skim itu diperkenalkan, sebanyak 30 kenderaan usang telah berjaya diserahkan untuk dilupuskan dengan melibatkan 28 kereta, sebuah motosikal dan sebuah van.
Beliau berkata kesemua pemilik kenderaan itu menyertai skim berkenaan secara sukarela, namun kerajaan negeri tidak merekodkan jumlah keseluruhan pampasan, kerana urusan pembayaran dibuat secara terus antara pemilik dengan syarikat AATF, dengan kadar bayaran bergantung pada jenis dan keadaan kenderaan.
H’ng berkata sambutan yang diterima, menunjukkan terdapat keperluan sebenar terhadap mekanisme pelupusan kenderaan usang yang lebih tersusun.
“Secara tidak langsung, ia mampu membantu mengurangkan lambakan kenderaan terbiar yang menjejaskan penggunaan ruang parkir, kebersihan dan imej persekitaran kawasan perumahan,” katanya.
H’ng berkata maklum balas daripada penduduk serta badan pengurusan bersama (JMB) dan perbadanan pengurusan (MC) juga positif, apabila semakin banyak pihak mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan skim berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata antara cabaran utama pelaksanaan skim itu ialah negara masih belum mempunyai dasar End of Life Vehicle (ELV) yang mewajibkan pelupusan kenderaan selepas mencapai tempoh tertentu, selain faktor sentimental pemilik, jangkaan pampasan yang tinggi serta kekangan logistik.
H’ng berkata faktor logistik dan kerjasama industri turut menjadi cabaran, berikutan sebelum ini syarikat AATF yang terlibat hanya berpangkalan di Selangor, selain tiada syarikat seumpamanya di utara Semenanjung, sekali gus menyukarkan kesinambungan program itu dalam jangka panjang.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan negeri juga berhasrat mengemukakan cadangan kepada kementerian berkaitan, bagi mempermudah proses pelupusan kenderaan usang, khususnya membabitkan kenderaan ditinggalkan di kawasan awam, pemilik yang tidak dapat dikesan atau telah meninggal dunia.
“Selain itu, melalui kerjasama rasmi dengan syarikat AATF yang bakal dilantik, pemilik dijangka menikmati proses yang lebih mudah serta tawaran pampasan yang lebih kompetitif, bagi menggalakkan lebih ramai menyertai program ini secara sukarela,” katanya.
Program Skim Strata Bebas Kenderaan Usang dilancarkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 20 Sept 2025, dengan Pulau Pinang menjadi negeri pertama memperkenalkan inisiatif tersebut bagi menangani isu lambakan kenderaan terbiar di kawasan perumahan strata.
Program itu dilaksanakan menerusi kerjasama antara Kementerian Pengangkutan, kerajaan negeri, MBPP dan syarikat swasta.
Bagi memastikan keberkesanan program itu, kementerian telah memperkenalkan sistem e-Deregistration atau e-Dereg, iaitu platform digital yang membolehkan pemilik kenderaan membuat pembatalan pendaftaran kenderaan, sekali gus memudahkan proses pelupusan.
-- BERNAMA