KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus memperkukuh peranan sebagai pemudah cara pembangunan koperasi dengan membantu koperasi tempatan menembusi pasaran antarabangsa melalui penyertaan dalam pameran perdagangan terbesar dunia, GULFOOD Dubai 2026.
Pengerusinya, Datuk Ng Siew Lai, berkata sokongan SKM memberi keyakinan kepada koperasi untuk meneroka pasaran baharu, terutama di Asia Barat.
Advertisement
“Kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada pasaran China kerana persaingan semakin sengit dan harga kurang kompetitif. SKM memberi dorongan supaya kita berani mencuba pasaran baharu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau menjelaskan penyertaan dalam GULFOOD membuka peluang jaringan strategik dengan pembeli luar negara dan membolehkan koperasi menguji penerimaan produk di peringkat global.
Selain itu, tambahnya ia juga sebahagian strategi jangka panjang untuk memastikan produk koperasi Malaysia terus berkembang ke pasaran antarabangsa.
Antara koperasi yang menyertai ialah Koperasi Penternak Burung Walit Malaysia Berhad (KOWALIT), yang memperkenalkan produk sarang burung premium kepada pembeli antarabangsa.
SKM memaklumkan usaha membawa koperasi ke platform perdagangan antarabangsa adalah sebahagian strategi agresif sejak 2025, termasuk penyertaan dalam FOODEX Jepun.
Selain memudahkan penyertaan pameran, SKM turut membantu koperasi mendapatkan pensijilan antarabangsa seperti GMP, Halal dan HACCP bagi memastikan produk memenuhi piawaian global.
Siew Lai menegaskan pematuhan standard antarabangsa adalah keperluan utama untuk menembusi pasaran eksport.
“Setiap negara ada kriteria tersendiri. Jika mahu masuk pasaran antarabangsa, kita mesti patuh sepenuhnya. Pasukan kawalan kualiti kami memastikan semua standard dipenuhi,” katanya.
Beliau menambah model koperasi yang menghimpunkan anggota membolehkan ekonomi skala dicapai, sekali gus meningkatkan keupayaan memenuhi tempahan besar dari luar negara.