Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa orang ramai agar berhenti menghantar, berkongsi dan memaparkan mesej dan komen yang berunsur kebencian di dalam talian dengan serta-merta.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita sepatutnya perlu peka dan lebih sensitif sewaktu berkomunikasi di dalam talian. Fikirkanlah akibat dan perasaan sahabat-sahabat kita sebelum meletakkan sebarang komen atau pendapat di dalam media sosial.

Seboleh-bolehnya, elak berkomunikasi dalam talian ketika emosi tidak tenteram. Bertenanglah dahulu, kata Pengerusi SKMM, Dato Mohamed Sharil Tarmizi.

Negara kita mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi oleh setiap warganegara di dalam dan di luar talian. Jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara dan memerlukan penjelasan, ianya perlu disalurkan kepada pihak yang berkenaan mengikut lunas undang-undang negara, tambah beliau.

Pada masa yang sama, Dato Mohamed Sharil juga menggesa rakyat Malaysia untuk bertenang dan tidak mudah terbawa-bawa dengan isu panas dan emosi yang boleh menganggu-gugat keharmonian negara.

Dalam dunia siber dewasa ini, jelas Dato Mohamed Sharil, tidak semua maklumat ataupun paparan dalam media sosial adalah benar. Penghantar sesuatu maklumat juga mampu melakukan penyamaran atau penipuan identiti.

Oleh itu, adalah penting untuk semua rakyat memanfaatkan kebijaksanaan mereka untuk memeriksa terlebih dahulu kesahihan sesuatu maklumat yang diterima sebelum memuatnaiknya.