JOHOR BAHRU: Seramai 123,721 sukarelawan Skuad Waja telah didaftarkan di seluruh Malaysia setakat 3 Feb lepas sejak ia dilancarkan pada 2021, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Menerusi skuad itu, sebanyak 945 kes telah berjaya dikendalikan manakala seramai 6,837 orang telah disantuni semasa program psikososial.

"Saya juga difahamkan bahawa dalam Misi Skuad Waja Santuni Mangsa Banjir, seramai 5,331 individu telah dibantu oleh Skuad Waja dari seluruh negeri," katanya dalam ucapan program pelancaran Skuad Waja @Johor, di sini hari ini.

Ucapan Rina dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) kementerian Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Rina berkata Johor mempunyai 8,886 sukarelawan Skuad Waja berdaftar sejak dilancarkan hingga 3 Feb lepas melibatkan 8,727 wanita dan 159 lelaki.

Katanya, sukarelawan Skuad Waja Johor juga turut bergiat aktif dengan menyantuni komuniti dan mangsa yang memerlukan.

Tambah beliau, seramai 1,113 orang telah dibantu dan disantuni melibatkan 84 program psikososial dan sebanyak 52 kes juga telah dilaporkan dan dibantu merangkumi kes keseimbangan, kewangan, kemahiran dan kepimpinan.

"Dengan jumlah ahli Skuad Waja yang ramai ini, saya yakin dan percaya Skuad Waja Johor mampu menjalankan lebih banyak aktiviti turun padang dan menyantuni komuniti, seterusnya membuat pelaporan kes secara dalam talian.

"Justeru, saya menggesa kepada semua ahli Skuad Waja Johor untuk bersama-sama lebih proaktif dalam aspek pelaporan kes," kata beliau.

Rina berkata kementerian juga mempunyai beberapa perancangan untuk menambah baik program Skuad Waja, ia merangkumi pelaksanaan latihan lanjutan kepada ahli Skuad Waja dalam bidang kemahiran bantuan kecemasan psikologikal (PFA), iaitu satu bentuk intervensi sokongan komuniti yang digunakan selepas bencana, krisis atau keganasan.

-- BERNAMA