PETALING JAYA: Kerajaan terus memperkukuh agenda keselamatan negara apabila melancarkan Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah (AW).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, penubuhan itu merupakan satu inisiatif strategik baharu yang mengintegrasikan kepakaran pertahanan dengan sistem rel bandar negara.
Advertisement
"Penubuhan ini juga menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh perlindungan infrastruktur kritikal negara.
"Penubuhan skuadron ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam memastikan kebolehoperasian dan keselamatan infrastruktur pengangkutan awam strategik sentiasa berada di tahap optimum bukan sahaja sewaktu aman malah ketika berhadapan situasi krisis atau ancaman keselamatan.
"Inisiatif ini turut menyokong agenda nasional Kerajaan MADANI yang menekankan kepentingan sistem pengangkutan awam dari aspek daya tahan, kesinambungan perkhidmatan serta keselamatan rakyat selaras dengan dasar Pertahanan Menyeluruh (HANRUH)," katanya dalam ucapan di Majlis pelancaran Skuadron Rapid Rail 50 RAJD Askar Wataniah (AW) di Menara Prasarana, di sini pada Isnin.
Khaled berkata, penubuhan Skuadron Rapid Rail merupakan langkah proaktif kerajaan dalam membangunkan keupayaan khusus melibatkan operasi, penyelenggaraan dan pengurusan kecemasan sistem rel bandar seperti LRT, MRT dan Monorel.
"Sistem rel bandar seperti LRT, MRT dan Monorel merupakan antara infrastruktur kritikal negara yang menyokong mobiliti harian rakyat serta kelangsungan ekonomi.
"Justeru, penubuhan skuadron ini menyumbang secara langsung kepada keselamatan negara dengan memastikan kesinambungan operasi sistem rel sentiasa terpelihara dalam apa jua keadaan termasuk bagi keperluan pengurusan krisis nasional dan kebolehaksesan operasi ketenteraan.
"Saya melihat kerjasama erat bersama Rapid Rail selaku pengendali utama perkhidmatan rel bandar. Kerjasama ini merupakan manifestasi pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS) seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan," katanya.
Skuadron itu tambahnya, ditempatkan di bawah struktur 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD (AW) dan dianggotai sepenuhnya oleh anggota Askar Wataniah yang mempunyai kepakaran profesional dalam bidang rel, kejuruteraan serta operasi pengangkutan.
Jelas Khaled lagi, penubuhan ini tidak melibatkan penambahan jawatan anggota tetap sebaliknya memanfaatkan kepakaran sedia ada sebagai nilai tambah strategik kepada pertahanan negara.
"Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD (AW) dianggotai oleh 33 pegawai dan 191 anggota Askar Wataniah yang dipilih berdasarkan kepakaran, pengalaman dan latar belakang teknikal berkaitan.
"Komposisi ini membolehkan skuadron beroperasi secara efektif sebagai pasukan pakar berkeupayaan tinggi. Dalam situasi kecemasan atau krisis, skuadron ini akan digerakkan bagi membantu pemulihan operasi rel, sokongan kejuruteraan, pengurusan tapak kejadian serta penyelarasan tindakan bersama agensi keselamatan dan pengendali rel termasuk pelaksanaan Pelan Tindak Balas Kecemasan," katanya.
Bagi memastikan keupayaan ini kekal relevan dan berdaya saing, pelan pembangunan masa hadapan akan menumpukan kepada peningkatan latihan berterusan, pengukuhan kepakaran teknikal, penyeragaman prosedur operasi bersama agensi awam serta perluasan keupayaan sokongan selaras dengan keperluan keselamatan negara.
Penubuhan skuadron ini juga dijangka akan menjadi penanda aras kepada kerjasama strategik antara sektor pertahanan dan pengangkutan awam dalam memperkukuh daya tahan serta keselamatan negara.