KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS01 yang tiba di Kathmandu bagi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana ke Nepal, mengadakan mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan pada Ahad bagi menyelaras penugasan sebelum digerakkan ke lapangan.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim, berkata mesyuarat itu diadakan bagi membolehkan penyelarasan dengan pihak berkuasa Nepal, khususnya dalam menentukan aturan serta keperluan penugasan pasukan SMART di lapangan.
"Pasukan SMART sedang mengadakan mesyuarat dan urusan pentadbiran bersama pihak berkuasa Nepal bagi mendapatkan maklumat serta menyelaras keperluan penugasan.
"Penyelarasan ini penting bagi menentukan aturan penugasan pasukan, termasuk kawasan yang perlu diberi tumpuan, sebelum pasukan digerakkan ke lapangan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Pasukan SMART itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu pada 12 tengah hari waktu tempatan, Sabtu.
Pasukan berkenaan selesai menjalani proses ketibaan dan protokol misi pada 4.30 petang waktu tempatan, termasuk urusan pelepasan logistik serta pengesahan senarai anggota.
Seramai 11 anggota dan pegawai SMART berlepas ke Nepal menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara TUDM Subang pada 9 pagi Sabtu, dengan membawa peralatan mencari dan menyelamat (SAR) seberat 12.4 tan.
Peralatan itu merangkumi kelengkapan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi serta peralatan khas termasuk peralatan penyelamatan terowong, selain sebuah kenderaan pacuan empat roda dan trak muatan 10 tan.
Setakat ini, lebih 5,000 individu masih dilaporkan hilang, manakala lebih 1,300 nyawa terkorban susulan bencana berkenaan.
Daripada jumlah itu, 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi sehingga kini.
Risiko tanah runtuh, cuaca buruk serta keadaan lumpur tebal turut menyukarkan operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas.
Sementara itu, satu-satunya laluan darat menuju ke Gyirong telah dipulihkan, sekali gus membolehkan kemasukan peralatan berat dari China bagi membantu operasi pemulihan.