KUALA LUMPUR:SME Bank sekali tampil menyalurkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha membantu petugas barisan hadapan menangani penularan COVID-19.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sumbangan tersebut akan meringankan beban kerajaan, selain menyahut seruan agar semua agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu menghadapi tempoh yang sukar ini.

“Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) yang prihatin dan bertanggungjawab, sumbangan yang diberikan adalah dalam bentuk pek makanan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di hospital-hospital kerajaan terpilih di seluruh negara dan juga agensi-agensi di bawah MKN,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Hadir sama pada penyerahan sumbangan ialah Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik), Datuk Khairul Shahril Idrus dan Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.

Sementara itu, Aria Putra berkata Program Tanggungjawab Korporat (CSR) itu akan dilaksanakan serentak di 26 cawangan SME Bank di seluruh negara.

“Ini adalah kali pertama kami lakukan dengan cara begini. Ianya dijangka akan diadakan pada 16 Disember 2020

“Kami terpanggil untuk memberikan sumbangan ini kerana melihat kegigihan petugas barisan hadapan kita yang berkorban masa dan tenaga demi menyelamatkan nyawa kita semua.

“Perjuangan menentang COVID-19 ini adalah tanggungjawab bersama,” tambah beliau.

April lalu, SME Bank turut memberikan sumbangan korporat dan zakat berjumlah lebih RM300,000 kepada beberapa agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan (KKM) dan hospital-hospital terpilih di seluruh negara.