KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat fardu dan solat Jumaat di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, surau dan musala di seluruh negeri bermula esok sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pelaksanaan solat fardu dan solat Jumaat di masjid negeri, bandar dan jajahan seluruh negeri Kelantan adalah dibenarkan dengan 50 jemaah sahaja.

"Bagi masjid mukim kategori 'A', masjid mukim, surau dan musalla seluruh Kelantan hanya dibenarkan kepada empat kakitangan sahaja.

"Ketetapan ini berkuat kuasa dari 19 Mei sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Aktiviti-aktiviti lain adalah tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan, mengingatkan anggota jemaah untuk berada dalam saf dengan penjarakan dua meter dan mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini.

"MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini. SOP sebagaimana di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musalla.

"Tindakan sewajarnya akan diambil atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini. Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua," katanya.

-- BERNAMA