MALAYSIA
Solat hajat, berdoa supaya jerebu pulih - Sultan Pahang

Al-Sultan Abdullah menasihati orang ramai menjaga kesihatan agar tidak terjejas akibat jerebu selain tidak melakukan pembakaran terbuka. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan orang ramai berdoa dan melakukan solat hajat agar jerebu di negeri ini kembali pulih.
Al-Sultan Abdullah turut menasihati orang ramai menjaga kesihatan agar tidak terjejas akibat jerebu selain tidak melakukan pembakaran terbuka.
"Harap jerebu ini dapat dikurangkan pada masa akan datang. Semua rakyat kita (disarankan) untuk solat hajat dan berdoa untuk minta hujan kepada Allah SWT.
"Kalau jerebu ini (semakin) bertambah, (ibu bapa) perlu nasihat anak-anak supaya jangan bermain di luar," titah baginda selepas berangkat menziarahi keluarga Imam Masjid Ar Rahmat Allahyarham Tengku Badri Tengku Jaafar di Felda Lembah Klau, Raub hari ini.Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Jumaat lepas, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam masjid yang merakam detik Tengku Badri, 60, rebah ketika memimpin solat Jumaat sebelum disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, menerusi hantaran laman Facebook Kesultanan Pahang, keberangkatan baginda berdua ke rumah Tengku Badri disambut balu Allahyarham, Puziah Musa, 57, serta ahli keluarga lain.
Baginda berdua meluangkan masa kira-kira 30 minit berbual dan bertanya khabar keluarga Allahyarham selain menitipkan kata-kata semangat agar keluarga itu tabah dengan pemergian Tengku Badri yang disifatkan mulia dan dicemburui ramai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami