Kelantan tetap tidak membenarkan solat sunat Aidilfitri diadakan di masjid di seluruh negeri.

Bagaimanapun menurut Yang Di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, solat Jumaat dibenarkan bermula esok.

"Solat Jumaat dibenarkan dengan bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang yang terdiri daripada Imam Tua, Imam Muda, bilal, siak serta ahli jawatankuasa (AJK) masjid.

"Keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berjata, pelaksanaan solat Jumaat perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Katanya, pegawai dan jawatankuasa yang hadir perlu memeriksa suhu badan dan sekiranya lebih 37.4 celcius serta bergejala tidak dibenarkan memasuki masjid.

"Ahli jawatankuasa (AJK) yang berumur 70 tahun ke atas juga tidak dibenarkan hadir. Selain itu pegawai dan AJK masjid wajib memakai penutup muka dan kehadiran perlu direkodkan.

"Penjarakan sosial sejauh satu meter antara jemaah ketika solat juga perlu dipatuhi dan jemaah perlu membawa sejadah sendiri," katanya.

Tengku Mohamad Rizam berkata, walaupun solat Jumaat dibenarkan, namun solat sunat Aidilfitri tidak dibenarkan.

"Orang ramai dinasihatkan melakukan solat fardu lima waktu dan solat sunat Aidilfitri di rumah bersama ahli keluarga.

"Orang ramai juga tidak digalakkan menziarahi tanah perkuburan sempena Aidilfitri nanti.

"Maik amat berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dalam memutuskan rantaian wabak koronavirus (COVID-19) ini," katanya.