KESUNGGUHAN Alya Aqeela Muhammad Fadhil, 7, untuk menjual lukisan di hadapan rumahnya di Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi, di sini mengejutkan ibu bapanya apabila semua enam karyanya habis dijual dalam masa sejam.

Ayahnya, Muhammad Fadhil Mohd Zainuddin, 32, berkata, dia tidak menghalang anaknya untuk berbuat demikian walaupun idea tersebut muncul secara tiba-tiba pada pagi Selasa.

Namun begitu, dia mendakwa Aqeela ingin cuba berniaga kerana sering melihatnya menjual durian di Desa Petaling di sini kerana ingin mencari pendapatan tambahan.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai kontraktor, tapi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan saya berkurang.

“Jadi saya buka gerai durian di Desa Petaling. Mungkin disebabkan dia melihat saya berniaga, dia juga terpengaruh untuk berniaga, jadi dia minta saya untuk dirikan gerai di hadapan rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Muhammad Fadhil berkata, isterinya, Nurul Fazren Abd Rasit, 31, menentang idea Alya Aqeela untuk menjual lukisan di hadapan rumahnya kerana dia menganggap perbuatan tersebut tidak masuk akal bagi kanak-kanak seusianya.

Namun begitu, Muhammad Fadhil yang tidak mahu mematahkan semangat anaknya untuk berniaga menurutkan hasratnya membuka gerai di hadapan rumah, dan mula menjual pada sekitar jam 5 hingga 6.30 petang pada Selasa.

“Pada awalnya anak saya masuk ke dalam rumah mengadu tiada orang membeli lukisannya, tapi saya menyuruhnya untuk kekal berada di gerainya.

“Selepas 15 minit, gerainya dikunjungi pelanggan yang tinggal di kawasan sekitar untuk membeli lukisannya.

“Sepatutnya dia mendapat RM6 daripada hasil jualan enam buah lukisan, namun apa yang mengejutkan saya, dia berjaya mendapat RM51 daripada perniagaan tersebut,” katanya.

Melihat kepada hasil jualan yang diraih Alya Aqeela, ibunya sangat terkejut dengan pencapaiannya, malah lebih mengharukan, Aqeela ingin memberikan semua wang jualannya kepada ibunya,

Namun, ibunya memintanya untuk menyimpan wang tersebut ke dalam tabung simpanan.

Mengulas lanjut, Muhammad Fadhil berkata, Alya Aqeela ingin terus menjual lukisannya setelah mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli yang merupakan penduduk sekitar kawasan tersebut.

Namun begitu, dia tidak dapat memastikan jumlah lukisan yang bakal dihasilkan untuk dijual kerana ia bergantung kepada 'mood' anaknya.


*Berita asal di Sinar Harian