PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan dakwaan kononnya warga asing menerima rawatan percuma di hospital kerajaan adalah tidak tepat kerana mereka perlu membuat bayaran deposit sebelum dimasukkan ke wad.
Beliau berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pesakit warga asing perlu membayar deposit sebanyak RM1,400 bagi kes perubatan dan RM2,800 bagi kes pembedahan sebelum dimasukkan ke wad.
Advertisement
Menurutnya, pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pula hanya diberikan diskaun sebanyak 50 peratus daripada kadar deposit tersebut.
“Pesakit warga asing perlu membuat bayaran deposit sebelum didaftarkan untuk dimasukkan ke wad. Tidak betul kalau dikatakan mereka dapat dikecualikan daripada bayaran.
"Kementerian akan meneliti laporan dan melakukan siasatan lanjut bagi memastikan kesahihan maklumat yang tular,” jelasnya.
Sebelum ini, timbul dakwaan di platform media sosial menyatakan warga asing boleh mendapat rawatan percuma tanpa perlu membayar deposit dengan menggunakan Lampiran A.
Menurut Dzulkefly, penggunaan Borang Lampiran A hanya terpakai untuk kes kritikal yang melibatkan situasi hidup dan mati di jabatan kecemasan hospital, tertakluk kepada penilaian pegawai perubatan pakar atau pengarah hospital.
"Borang Lampiran A ini hanya memberikan penangguhan, bukan pengecualian bayaran deposit, ini sementara rawatan dan penstabilan pesakit dibuat supaya pesakit tidak mati.
"Selepas pesakit berada dalam keadaan stabil, proses untuk mendapatkan bayaran rawatan akan diteruskan mengikut prosedur yang ditetapkan," ujar Dzulkefly.
Tambahnya, polisi ‘No Wrong Door’ yang diamalkan di hospital kerajaan bertujuan memastikan pesakit dalam keadaan kritikal menerima rawatan segera tanpa mengira status kewangan mereka terlebih dahulu.
Selain itu, pengecualian deposit hanya diberikan kepada warga asing yang mempunyai perlindungan insurans kesihatan seperti Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) atau skim insurans perubatan pelarian.
"Jika pesakit warga asing itu tidak mempunyai insurans tersebut dan tiada duit mencukupi, pesakit akan diminta menghubungi waris terdekat atau rakan-rakan bagi mendapatkan wang deposit berkenaan, tiada kompromi," tegas Dzulkefly.