Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meneliti semula Prosedur Operasi Standard (SOP) pemeriksaan rutin anggotanya ke atas kenderaan di jalan raya susulan salah seorang pegawainya yang dilanggar lori sehingga mati semasa bertugas baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusannya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, berkata antara cadangan yang mungkin akan dimasukkan ke dalam SOP berkenaan ialah menambah lebih banyak kon semasa pemeriksaan dijalankan.

"Kita akan teliti (SOP), dan sebagaimana yang dikatakan Ketua Pengarah JPJ, kita akan memperbanyakkan kon. Contoh kapal terbang, sebelum tolak dia letak kon, selepas terbang kon tu dibuang (dialih)," katanya dalam sidang media selepas melawat balu anggota JPJ yang meninggal dunia akibat sakit jantung di kediamannya di sini hari ini.

Bagaimanapun tegasnya, pegawai yang bertugas mematuhi SOP yang ditetapkan semasa hari kejadian.

Jelas beliau lagi, JPJ tidak menolak kemungkinan mangsa berada di kawasan 'blindspot' menyebabkan dia dilanggar lori berkenaan.

BACA: Anggota penguat kuasa JPJ maut digilis treler di Setia Alam

"Semasa hari kejadian, pegawai kita telah memeriksa lori lain di belakang itu. Lori terlibat pula berhenti di laluan motosikal kerana menjawab telefon. Jadi, pegawai kita (mangsa) minta dia beri laluan kepada motosikal. Mungkin pada waktu itu, apabila lori bergerak dia berada di blindspot," jelasnya.

Pihaknya bagaimanapun menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, JPJ menggesa Polis Diraja Malaysia, mengambil tindakan ke atas tuduhan seorang pemilik akaun Facebook Saiful Otai yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap mangsa dan jabatan itu.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia Khamis lalu dan satu lagi laporan akan dibuat JPJ Selangor dalam masa terdekat.

Wan Ahmad Uzir juga menafikan dakwaan pemilik Facebook berkenaan bahawa mangsa, Mohd Ridzuan Md Yusop terlibat dengan rasuah.

Sebaliknya kata beliau, Mohd Ridzuan adalah seorang anggota cemerlang dan bertanggungjawab.

"Pertama, dia (Saiful Otai) (melalui komen di FB) kata dia berada di tempat kejadian, dia kata si mati makan duit haram, ketiga JPJ akan sedar dengan perbuatan dan dia kata "itu pasal saya berdoa cepat mati polis yang guna kuasa, kita bukan suka hati. Jadi saya ucap terima kasih pada kesatuan kerana buat laporan polis dengan secepat mungkin," tambahnya.

Justeru, beliau berharap polis mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang suka mereka cerita yang tidak sepatutnya ke atas penguatkuasa kerajaan.

Hasil pemeriksaan JPJ melalui semakan kad pengenalan dan lesen, nama sebenar suspek ialah Mohd Saifulfazilan Mohd Sapuddin berusia 30 tahun dan dipercayai bekerja sebagai pemandu lori.

Wan Ahmad Uzir menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggotanya yang terlibat dengan kes rasuah semasa melakukan tugas.

Sehingga kini, 105 anggota telah diambil tindakan tatatertib kerana terlibat dengan kesalahan berkenaan.

Dalam kejadian Rabu itu, seorang anggota penguat kuasa JPJ Selangor maut digilis sebuah treler semasa melakukan pemeriksaan rutin berhampiran Plaza Tol Setia Alam menghala Setia Alam di sini hari ini.

Mohd Ridzuan Md Yusop, 34, digilis kenderaan itu semasa ia dipercayai sedang bergerak perlahan memasuki semula lebuh raya itu setelah berhenti di lorong kecemasan untuk membuat panggilan telefon.