KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Johor akur dengan apa sahaja ketetapan yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Begitupun, Pengarah Komunikasi BN Johor Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, beliau harap ada keseimbangan antara usaha mengekang penularan COVID-19 dan ruang menyuburkan demokrasi.

Beliau melihat berpandangan, parti-parti politik masih perlu mengadakan kempen secara fizikal supaya mesej dapat disampaikan terus kepada sasarannya.

Namun, katanya, harus ada juga batasannya supaya ia tidak akan menjadi penggalak kepada penularan jangkitan baharu, khususnya akibat varian Omicron.

“Kita tahu bahawa kaedah berkempen adalah seperti alat-alatan yang perlu digunakan, pertemuan bersemuka dan bahan cetak yang perlu diedarkan, yang memerlukan kaedah pergerakan fizikal.

“Jadi, kalau SPR menetapkan bahawa penularan wabak ada kaitan dengan pilihan raya, saya melihat bahawa kita boleh mencadangkan juga kepada SPR supaya SOP kempen berlandaskan kepada keutamaan.

"Pertama, memberikan demokrasi seluas-luasnya untuk menyampaikan mesej calon kepada pengundi, dan yang kedua, di kala itu kita imbangkan dengan usaha untuk membantu supaya penularan tidak berlaku secara meluas,” katanya kepada Astro AWANI semalam.

BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI 

Pada masa sama, beliau yakin ia dapat dilaksanakan, memandangkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pernah mengumumkan, SOP PRN Johor sudah hampir dimuktamadkan dan ia berbeza daripada PRN Melaka dan Sarawak.

Tonton temu bual penuh beliau dalam program Agenda AWANI bersama hos Nazri Kahar, di sini:

SOP PRN perlu seimbang antara ruang demokrasi dan kekang penularan Omicron - BN Johor

Agenda AWANI: PRN Johor I BN sudah bersedia, tunggu SOP baharu