KUALA LUMPUR: Dengan hanya berbaki dua minggu lagi sebelum umat Islam di negara ini menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri, prosedur operasi standard (SOP) yang bakal diumumkan kerajaan dijangka lebih ketat kali ini berbanding tahun lalu.

Menurut Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman, jangkaan itu dibuat selepas mengambil kira pertambahan kes harian COVID-19 yang kini menjangkau empat angka.

Apa lagi dalam keadaan kes aktif kebolehjangkitan juga hampir mencapai 30,000 kes ketika ini, kata Dr Malina.

"Saya jangkakan kita akan menyambut hari raya seperti mana tahun lepas, cuma keadaan sekarang berbanding tahun lepas, angka kes aktif berlipat kali ganda berbanding tahun lepas.

"Semalam catatkan 28,000 kes aktif. Kita juga melihat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) kes terus meningkat, mereka yang kritikal dan memerlukan mesin pernafasan," katanya pada Jumaat.

BACA: SOP Aidilfitri diumumkan minggu depan - Ismail Sabri

Aidilfitri | Menjelang pengumuman SOP Raya

Tambah Dr Malina, penggunaan hospital bagi merawat COVID-19 terutama di Lembah Klang ketika ini pula berada pada tahap 80 peratus. 

"Kita dimaklumkan hospital di Lembah Klang, sudah capai 80 peratus pesakit COVID-19, ia membawa kepada ketidaktentuan. Mungkin ada prosedur yang semakin ketat dilaksanakan.

"Saya berpendapat zon merah, aktiviti kunjung mengunjung hanya dihadkan pada daerah tertentu sahaja, perlu ada larangan rentas daerah," katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media pada Jumaat memaklumkan SOP sambutan Hari Raya Aidilfitri akan diumumkan pada minggu depan.

Katanya, SOP itu belum boleh diumumkan kerana masih dalam perbincangan dan meminta semua pihak untuk menunggu sehingga minggu depan.

SOP Aidilfitri akan diumum minggu depan