Skip to main content

Malaysia

Sorakan tamat, sampah pula bersepah di Dataran Merdeka

Sampah_Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
DBKL berkata orang ramai masih boleh meraikan sesuatu acara dengan penuh semangat, namun kebebasan untuk bergembira tidak seharusnya disertai tindakan mencemarkan ruang awam. - Foto Facebook/DBKL
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluahkan rasa kecewa selepas Dataran Merdeka ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah susulan himpunan orang ramai menyaksikan aksi final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina.

Menerusi perkongsiam di media sosial, DBKL berkata ribuan peminat bola sepak hadir pada awal pagi untuk meraikan perlawanan tersebut, namun keadaan padang bersejarah itu berubah selepas sorakan berakhir.

“Sedih melihat keadaan Dataran Merdeka selepas aksi final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina. 

"Awal pagi tadi, ribuan orang berhimpun untuk bersorak, meraikan bola sepak dan berkongsi kegembiraan. Namun apabila sorakan berakhir, padang bersejarah ini ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah sarap,” menurut DBKL.

DBKL memaklumkan pihaknya akan menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi mengembalikan keadaan Dataran Merdeka seperti sediakala.

“DBKL akan membersihkannya. Petugas kami akan turun mengutip apa yang ditinggalkan tetapi kebersihan Kuala Lumpur tidak seharusnya sentiasa bergantung pada orang lain yang datang membersihkan selepas kita pulang,” katanya.

Menurut DBKL, Dataran Merdeka merupakan simbol penting yang mencerminkan sejarah dan maruah negara, justeru setiap individu perlu memainkan peranan dalam menjaga kawasan berkenaan.

“Dataran Merdeka ialah lambang maruah dan sejarah negara. Cara kita meninggalkannya mencerminkan cara kita menghargainya,” katanya.

DBKL berkata orang ramai masih boleh meraikan sesuatu acara dengan penuh semangat, namun kebebasan untuk bergembira tidak seharusnya disertai tindakan mencemarkan ruang awam.

“Kita boleh meraikan dengan meriah. Kita boleh bersorak sepuasnya tetapi kebebasan untuk bergembira tidak pernah bermaksud kebebasan untuk mengotorkan ruang milik bersama,” jelasnya.

Dalam pada itu, DBKL menyeru warga Kuala Lumpur supaya bersama-sama menjaga kebersihan bandar raya kerana keadaan sesebuah kota turut mencerminkan sikap masyarakatnya.

“Kota yang hebat bukan hanya dinilai ketika orang ramai datang tetapi melalui keadaan yang mereka tinggalkan apabila pulang. Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jagalah seperti kita menjaga rumah sendiri,” katanya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement