SEPANG: Dadah seberat 67 kilogram dianggarkan bernilai RM3.2 juta dipercayai cuba diseludup ke Sabah berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah (Unit III) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 26 Julai lalu.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, sepasukan anggota Cawangan Eksport, Bahagian Perkastaman Zon Tengah telah menahan sebuah lori bonded untuk diperiksa di bahagian belakang Gate 9 Eksport, Kargo KLIA pada jam 1.10 tengah hari.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas semua parcel dagangan mendapati empat daripada 24 parcel (bungkusan) yang diperiksa telah menemukan sebanyak 41.8 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine dengan nilai RM1.38 juta dan dadah disyaki jenis MDMA seberat 25.25 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.84 juta.

Menurut beliau, modus operandi yang digunakan oleh sindiket itu adalah menyembunyikan dadah berbahaya di dalam kotak, seterusnya dimasukkan ke dalam guni bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kesemua dadah yang dirampas cuba disorokkan dalam empat buah kotak parcel tersebut.

"Siasatan awal mendapati parcel berkenaan akan dihantar ke alamat penerima di Sabah.

"Maklumat pengirim disyaki dipalsukan bagi mengelirukan dan mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pun Sian berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek terlibat.

Kata beliau, berdasarkan jumlah berat dadah dirampas, dianggarkan seramai 336,000 orang penagih dadah dapat diselamatkan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Sehubungan itu, kata beliau, orang ramai diminta membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah serta kenderaan.

Tegasnya, aktiviti haram penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"Malah JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," ujarnya. -- Sinar Harian