Kerajaan perlu mengkaji semula penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012) secepat mungkin kerana ia dilihat tidak menjamin hak mereka yang ditahan di bawah akta itu.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah melihat sendiri bagaimana hak-hak asasi tahanan berkenaan dinafikan sewaktu beliau sendiri menjadi tahanan di Penjara Sungai Buloh untuk beberapa tahun.

”Kita memang perlu bertindak tegas ke atas sebarang aktiviti berunsur terrorism, atau sesiapa sahaja yang cuba melalukan aktiviti terrorism seperti mana tertakluk bawah undang-undang, tetapi saya merujuk kepada bagaimana mereka ini dilayan sewaktu di penjara.

“Perasingan dari tahanan lain, tidak memberi akses yang berpatutan kepada ahli keluarga, peguam, ini pada pandangan saya, perlu diberi perhatian segera, sementara pihak berkuasa dan polis mengkaji semula kes-kes ini secara berasingan. Saya akan membawa perkara ini ke Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di ibu negara hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran buku Anwar Returns: The Final Twist, nukilan peguam jenayah berpangkat Queen Council dari Australia, Mark Trowell.

Mengulas lanjut mengenai hak-hak yang dinafikan, Anwar berkata, ia termasuk akses tahanan kepada peguam dan ahli keluarga.

“Sebagai contoh jika anda dibebaskan, sementara menunggu rayuan (oleh pihak berkuasa), anda masih ditahan di dalam penjara. Ini pada pandangan saya bukan satu rangka kerja undang-undang yang bersesuaian untuk sebuah negara yang bebas dan demokratik,” katanya lagi.

Ditanya pandangan beliau sama ada akta itu patut dihapus atau dipinda, Anwar berkata, keperluan untuk satu undang-undang menangani masalah keganasan bukan isunya, tetapi apa yang harus diberi perhatian ialah kuasa mutlak yang dimiliki pihak berkuasa di bawah akta itu.

“Kajian sedang dijalankan, dan kita memang perlu undang-undang bagi menangani aktiviti keganasan. Apa yang saya persoalkan ialah tindakan yang seolah-olah tiada batasan, fleksibiliti undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa buat keputusan tanpa alasan kukuh,” ujarnya lagi.

Terdahulu, sewaktu berucap di majlis pelancaran itu, Anwar berkata beliau berharap agar episod itu memberi pengajaran kepada semua bahawa jangan sekali-kali membenarkan pihak mahkamah dan pihak berkuasa menyalahguna kuasa mereka.

Buku itu merupakan siri ketiga Trowell, dan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ia menceritakan bagaimana ranjau politik yang dilalui Anwar, terutama sekali sewaktu menghadapi pertuduhan dalam Kes Liwat II.