Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu dikaji semula untuk meningkatkan isu keselamatan yang melindungi hak asasi manusia.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua berkata walaupun SOSMA sebuah akta anti-keganasan yang mempunyai penambahbaikan daripada Akta Keselamatan Dalam Negari (ISA), akta itu tidak mempunyai isu keselamatan yang melindungi hak asasi manusia.

Beliau berkata perkara ini patut diambil perhatian supaya SOSMA tidak menjadi seperti ISA kerana ia boleh mencabuli hak asasi manusia.

“Dalam perundangan, sebelum undang-undang ditubuhkan, seseorang itu masih tidak bersalah walaupun betapa terkutuknya jenayah yang dilakukannya. Kita tidak boleh mengabaikan prosedur yang mengikut undang-undang dan standard hak asasi manusia apabila kita melakukan review.

“Walaupun memang benar ada yang terlibat dengan aktiviti keganasan tetapi apa yang membezakan kita, masyarakat yang mengamal demokrasi dan mereka yang memperjuang menggunakan keganasan, kita menghormati hak asasi manusia,” tambah beliau.

Tian Chua yang juga merupakan ahli Parlimen Batu berkata jika mereka (Pakatan Rakyat) diberi peluang, mereka akan mengkaji semula dan memperkukuh SOSMA untuk memastikan akta anti-keganasan mematuhi prosedur yang betul.

Beliau berkata demikian kepada media selepas habis berucap di tapak ‘Occupy UM8’ ketika bersolidariti bersama-sama mahasiswa Universiti Malaya (UM) di hadapan pintu masuk UM.

Tian Chua tiba kira-kira jam 11 malam semalam.
Tian Chua tiba kira-kira jam 11 malam semalam, 12 Disember 2014 di tapak 'Occupy UM8' - Astro AWANI

Salah satu ucapannya adalah mahasiswa tidak perlu berasa pesimis dalam perjuangan mereka.

“Saya ucapkan tabik kepada mahasiswa yang memulakan perjuangan ini. Ini adalah titik sejarah yang mengubah nasib negara kita.

“Tadi saya ada sebut kita menang dalam satu kes ISA, kita tunjukkan bahawa tidak usah takut, duduk dalam penjara pun tidak apa kalau kita buktikan kita tidak bersalah walaupun 10 tahun kita berjuang, akhirnya kita dapat pengiktirafan,” tambah beliau.

Beliau berkata perkara yang penting adalah kejayaan dan kemenangan semua aktivis yang telah menampilkan diri pertahankan hak asasi dan menentang ISA.

Pada 11 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di mana Tian Chua dan bekas tahanan ISA yang lain mendapat pampasan keseluruhan berjumlah RM4.5 juta berikutan penahanan mereka pada tahun 2011.