Peningkatan prestasi dan keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 jelas menunjukkan banyak inisiatif yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) telah menampakkan hasilnya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia sekaligus memberi petunjuk bahawa peluasan dan keberkesanan sistem pendidikan serta dasar yang diamalkan telah berjaya memberi peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.

"Dalam hal ini, KPM sentiasa berusaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara.

"Keputusan SPM 2019 adalah antara bukti usaha dan kesungguhan KPM dalam memberikan pendidikan terbaik untuk semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau pada masa sama turut merakamkan ucapan tahniah kepada mereka yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang memberi kata-kata semangat kepada mereka yang kurang berjaya.

"Saya juga berharap mereka yang kurang berjaya tidak berputus asa dengan keputusan hari ini.

"Saya percaya jika disuntik semangat dan disokong usaha kental membimbing mereka, InsyaAllah kejayaan pasti dapat dikecapi.

"Bagi yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang hari ini, saya harap supaya mereka terus bekerja keras demi masa depan agar dapat menabur bakti kepada negara, bangsa dan agama," katanya.

Muhyiddin juga merakamkan penghargaan kepada para pendidik serta ibu bapa yang juga sebahagian daripada perangsang kepada kejayaan modal insan negara.

"Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua ibu bapa atas kecemerlangan anak-anak. Sesungguhnya dorongan ahli keluarga memainkan peranan penting bagi melonjakkan prestasi murid.

"Kejayaan seorang murid juga amat berkait rapat dengan kesungguhan dan kegigihan guru-guru mendidik murid. Terima kasih cikgu.

"Tanpa pengorbanan guru, pencapaian cemerlang dan memberangsangkan ini tidak akan menjadi kenyataan.