MALAYSIA
Jenazah anggota ATM maut kemalangan trak selamat dikebumi

Jenazah Koperal Mohd Ruzaini Md Shariff selamat dikebumikan di Kuala Ketil. -Foto Bernama
BALING: Jenazah Koperal Mohd Ruzaini Md Shariff, anggota tentera yang maut dalam kemalangan di KM257 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora, Perak, semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pekan Baharu, Kuala Ketil, kira-kira 12.30 tengah hari tadi.
Ringkasan AI
- Jenazah Koperal Mohd Ruzaini Md Shariff selamat dikebumikan di Kuala Ketil dengan istiadat ketenteraan selepas maut dalam kemalangan trak ATM berhampiran Terowong Menora.
- Allahyarham merupakan anak bongsu daripada lima beradik, anggota tentera sejak 2018, dan meninggalkan balu serta empat anak berusia tiga hingga 11 tahun.
- Kemalangan berlaku apabila trak ATM terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam enam meter, menyebabkan kematian Mohd Ruzaini dan mencetuskan kesedihan dalam kalangan keluarga serta komuniti.
Sementara itu, ibu Allahyarham, Zuraidah Ismail, 59, berkata Mohd Ruzaini, 32, adalah anak bongsu daripada lima beradik dan kali terakhir mereka bertemu ialah pada minggu lepas.
"Arwah sempat singgah di rumah sebentar bersama rakannya kerana kebetulan ada urusan kerja dekat sini. Dia menyertai tentera darat pada 2018 dan ketika itu sudah berkahwin dan mempunyai dua anak lelaki. Ayahnya pesara tentera dan abangnya juga tentera.
"Sebelum dia (Mohd Ruzaini) pulang, dia cakap 'adik sayang mak', dia peluk saya dan berpesan agar saya makan ubat. Dia minta saya jangan menangis, dia nak pergi kerja," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, Mohd Ruzaini meninggal dunia selepas trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dinaiki bersama enam anggota tentera dikatakan terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik dan terhumban ke dalam gaung sedalam enam meter.
Allahyarham meninggalkan balu, Fatin Ardillah Fisaul, 30, serta empat anak berusia tiga hingga 11 tahun.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami