PUTRAJAYA: Seramai 55.29 peratus daripada keseluruhan 407,097 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2021 lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Nor Zamani Abdol Hamid.

Dalam satu sidang media hari ini, beliau berkata, gred purata nasional (GPN), iaitu indeks yang digunakan untuk menilai pencapaian calon SPM 2021 di seluruh negara, ialah 4.86 mata.

Selain itu, Nor Zamani berkata, peratus calon yang layak untuk menerima sijil SPM, dengan syarat lulus Bahasa Melayu dan Sejarah, adalah sebanyak 88.09 peratus, atau 336,630 orang calon.

"Bersasarkan syarat pensijilan SPM yang telah ditetapkan mulai 2013, calon mesti sekurang kurangnya lulus dalam Bahasa Melayu dan Sejarah untuk layak mendapat sijil SPM.

“Peratus calon yang layak untuk terima sijil SPM adalah sebanyak 88.09 peratus, bersamaan dengan 336,630 orang calon. Selain itu, 1,411 orang calon berkeperluan khas iaitu CBK telah menduduki SPM 2021. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 69.10 peratus CBK layak untuk terima sijil bagi SPM 2021,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nor Zamani berkata, calon SPM 2021 merupakan kohort pertama yang menggunakan sistem Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), dengan menggunakan piawaian antarabangsa.

Antara ciri-ciri KSSM, jelas beliau lagi, ialah kemahiran lisan dan mendengar bagi bahasa melayu dan bahasa inggeris, serta ujian amali sains dalam empat mata pelajaran, iaitu fizik, kimia, biologi, dan sains tambahan.

Beliau berkata, pelaporan analisis prestasi mata pelajaran dibahagi kepada tiga kategori – 27 mata pelajaran baharu, 48 mata pelajaran sedia ada, yang menggunakan format baharu, dan 20 mata pelajaran sedia ada dengan format sedia ada.

“Bagi kategori prestasi mata pelajaran baharu seperti dalam jadual tiga, mata pelajaran Seni Halus 2D; Tarian; dan Apresiasi Tari, meunnukkan prestasi tertinggi.

“Bagi kategori mata pelajaran sedia ada dengan format baharu dalam jadual empat, mata pelajaran Bahasa Kadazan Dusun menunjukkan prestasi tertinggi.

“Bagi kategori prestasi mata pelajaran sedia ada dengan format sedia ada dalam Jadual 5, mata pelajaran Turath Dirasat Islamiah menunjukkan prestasi tertinggi,” katanya lagi.

Nor Zamani berkata, calon spm 2021, baik calon persekolahan atau persendirian, boleh menyemak keputusan masing bermula 10 pagi ini.

"Calon sekolah boleh dapat keputusan SPM daripada sekolah masing-masing, manakala slip SPM akan dihantar melalui pos bagi calon persendirian, juga pada hari ini.

“Di samping itu calon sekolah dan persedian boleh semak keputusan melalui secara dalam talian di pautan https://myresult.spm.moe.gov my, mulai 10 pagi (hari ini) sehingga 6 petang pada 24 jun 2022,” katanya lagi.

Nor Zamani berkata, KPM juga menyediakan sistem secara pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan rumusan keputusan SPM 2021, dengan menaip SPM<jarak>No Kad Pengenalan<jarak>No Angka Giliran SPM 2021 dan hantar ke 15888.

Dalam pada itu Nor Zamani berkata, KPM tidak membuat pembandingan dari segi jumlah pelajar mendapat gred A untuk kesemua mata pelajaran, negeri mana yang terbaik kali ini, atau perbandingan dari segi sekolah bandar dan luar bandar.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan berdasarkan faktor kesemua calon dan pengurusan sekolah mengalami tempoh yang sukar sepanjang pandemik COVID-19, di samping pengenalan KSSM buat kali pertama.