SHAH ALAM: Gred Purata Negeri (GPN) bagi negeri Selangor dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 meningkat 0.13 mata, dengan merekodkan 4.67 mata berbanding 4.80 pada tahun lepas.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jafri Abu berkata, pencapaian calon bandar meningkat sebanyak 0.12 mata iaitu 4.68 mata pada 2023 berbanding 4.80 mata pada 2022.

Manakala, pencapaian calon luar bandar  meningkat sebanyak 0.23 mata iaitu 4.20 mata berbanding 4.43 mata pada tahun sebelumnya.

“Secara keseluruhannya, berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) SPM Tahun 2023, sebanyak 42 daripada 56 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi, 14 mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi (GPMP) berbanding peperiksaan SPM Tahun 2022.

“Dalam peperiksaan SPM Tahun 2023, prestasi tujuh mata pelajaran teras menunjukkan peningkatan prestasi.

“Mata pelajaran Sains menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.21 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu 4.95 mata pada 2023 berbanding 5.16 mata pada 2022,” katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman analisis keputusan SPM Tahun 2023 Peringkat Negeri Selangor.

Mengulas lanjut, Jafri berkata daripada 65,452 calon sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) yang menduduki peperiksaan SPM, seramai 2,005 calon (3.15 peratus) di negeri memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 1,860 calon (2.94 peratus) pada 2022.

Ia sekali gus menyaksikan bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang menunjukkan peningkatan sebanyak 145 calon atau 0.21 peratus.

“Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 8,362 calon (13.12 peratus) pada 2023 berbanding 7,860 calon (12.44 peratus) 2022.

“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 502 calon (0.68 peratus). Manakala, seramai 21,071 calon (33.06 peratus) telah memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E semua mata pelajaran yang diduduki pada 2023 berbanding 20,582 calon (32.57 peratus) pada 2022.

“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 489 calon (0.49 peratus berbanding 2022,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, seramai 58,082 calon (91.14 peratus) layak menerima sijil SPM pada 2023 berbanding 56,402 calon (89.25 peratus) pada 2022, dengan peningkatan sebanyak 1,680 calon (1.89 peratus).