KUALA LUMPUR: Peneraju kediaman mampu milik, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada Khamis menyerahkan 232 lagi unit rumah jenis teres berkembar kepada pembeli Projek Perumahan Makmur Karak Setia Idaman, Lake View Jaya, Pahang.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kediaman yang telah siap dibina syarikat setakat ini mencapai angka 133,238 unit.

Sejak penubuhannya, SPNB telah mengambil peranan meningkatkan peluang pemilikan kediaman dengan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin, hala tuju pengurusan kini tertumpu kepada memastikan rumah dapat disiapkan dan kebajikan para pembeli diberi keutamaan.

Ini dibuktikan dengan kejayaan SPNB dalam menyerahkan unit kediaman Perumahan Makmur Karak Setia Idaman, dalam pada negara sedang berdepan dengan krisis pandemik COVID-19.

“Walaupun dengan kekangan yang dihadapi pada waktu sukar ini, keutamaan kami adalah untuk menyelesaikan masalah projek terdahulu yang lewat siap atau terbengkalai bagi para pembeli yang terkesan” ujar beliau ketika membuat lawatan kerja dan tinjauan projek yang telah siap dibina.

Projek Kediaman SPNB Lake View Jaya ini dibina di atas tapak seluas 79 ekar melibatkan 232 unit rumah jenis teres berkembar dan setiap unit pula mempunyai keluasan binaan 1,158 kaki persegi yang menjamin keselesaan kepada setiap penghuninya.

“Kami juga menghargai sokongan dan kepercayaan dari Kerajaan Negeri Pahang menyediakan tanah untuk dimajukan menjadi Perumahan Makmur Karak Setia Idaman, Lake View Jaya di Bentong ini oleh SPNB,” tambahnya lagi.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM34 juta, kediaman ini dilengkapi dengan prasarana yang mengetengahkan konsep ekosistem lengkap untuk kehidupan mampu milik mampan bagi setiap pembeli.

Kemudahan dan perkhidmatan asas tersebut merangkumi pendidikan, kesihatan, perbankan dan akses mudah ke lebuhraya utama.

Setiap unit rumah jenis teres berkembar ini dilengkapi dengan 3 bilik dan 2 bilik air dengan harga permulaan jualan yang berpatutan bermula dari RM148,000 seunit.