Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan insiden provokasi dan kekecohan yang berlaku semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau sebagai satu budaya negara ini sejak Merdeka lagi.

"Benda ini adalah budaya yang begitu lama, sejak Merdeka lagi. Bahawa pada hari undi, memang tak boleh kempen. Tetapi penyokong calon rasakan tempoh itu sangat penting untuk mempengaruhi 'small percentage' yang belum buat keputusan,” kata pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam selepas pengumuman pemenang pilihan raya kecil tersebut.

Bagaimanapun, Abdul Aziz juga menegaskan bahawa ketua-ketua parti politik perlu menasihati pengikut mereka supaya “adat” ini tidak dikekalkan.

“Pemimpin parti perlu menasihati ahli mereka apabila kita berhimpun... supaya jangan terlalu emosional. Gunakan perkataan yang sesuai, supaya pilihan raya nampak sihat, nampak teratur. Yang penting kita telus, pengundi tidak dipengaruhi oleh sesiapa. Mereka yang memilih sendiri,” katanya kepada wartawan Astro AWANI Abdul Hakim Rahman.

Katanya, meraih undi pada hari pengundian memang satu kesalahan, dan SPR perlu meneruskan penerangan supaya penyokong-penyokong parti masing-masing faham undang-undang ini.

Abdul Aziz berkata insiden tumbuk dan provokasi yang dilaporkan semasa PRK Sungai Limau dilakukan oleh “orang luar”.

“Mungkin orang luar yang membuat provokasi, bukan sahaja kepada parti tetapi kepada SPR. Saya sangat yakin orang luar, sebab muka-muka biasa kita orang lihat... di Kuala Besut pun ada,” kata Abdul Aziz.

Secara keseluruhan, Abdul Aziz berkata beliau “sangat berpuas hati” dengan perjalanan PRK kerana “tiada peristiwa yang besar” yang berlaku.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah Datuk Mahfuz Omar bersetuju supaya pemimpin parti perlu ambil langkah agar semua penyokong “membawa satu misi politik aman sejahtera dan harmoni.”

“Kita perlu menyokong politik yang berasaskan pemikiran, kebijaksanaan,” kata Mahfuz lagi.