Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia melaksanakan pilihan raya umum (PRU) sekiranya Parlimen dibubarkan ekoran perkembangan semasa politik tanah air, kata Pengerusinya Datuk Azhar Azizan Harun.

Dalam kenyataannya hari ini, Azhar berkata Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jika PRU diadakan kali ini, SPR menganggarkan jumlah perbelanjaan adalah antara RM750 juta dan RM800 juta berbanding RM500 juta pada PRU14 lepas.

"Pertambahan perbelanjaan ini tidak dapat dielakkan kerana SPR bercadang meneruskan semua penambahbaikan yang telah dilaksanakan dalam 10 pilihan raya kecil yang telah diadakan selepas PRU14," katanya.

Antara penambahbaikan itu termasuk pertambahan pusat mengundi dan saluran serta penyediaan saluran khas untuk pengundi orang kurang upaya (OKU), katanya.

BACA: Muhyiddin dahului Anwar sebagai PM-8

Azhar berkata SPR juga akan menyediakan kemudahan kerusi roda serta perkhidmatan pengangkutan perantara untuk kemudahan pengundi warga emas dan OKU.

"Di samping itu, penambahbaikan prasarana pusat mengundi seperti pembinaan laluan bersimen, ramp (tanjakan) untuk penggunaan kerusi roda dan lain-lain kemudahan bagi memastikan keselesaan semasa proses pengundian berlangsung," katanya.

Pada PRU14, katanya peruntukan sebanyak RM500 juta digunakan bagi memastikan 14.9 juta pengundi diberi kemudahan untuk memilih 222 Ahli Dewan Rakyat dan 505 Ahli Dewan Undangan Negeri.

Katanya 259,443 petugas telah digerakkan bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar.

"Daripada jumlah tersebut seramai 222 orang Pegawai Pengurus, 29,054 Ketua Tempat Mengundi dan selebihnya daripada pelbagai kategori petugas telah dilantik bagi melancarkan proses pengundian," katanya.

Azhar berkata sebanyak 8,839 pusat mengundi dan 29,054 saluran telah dibuka di seluruh negara pada PRU14, melibatkan sebanyak 600,417 buku kertas undi dan 88,113 botol dakwat pilihan raya.

Menurutnya, SPR akan mengeluarkan kenyataan media untuk sebarang perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Azhar turut menyeru orang ramai untuk mendapatkan maklumat menerusi laman sesawang www.spr.gov.my atau Facebook rasmi SPR atau menghubungi talian 03-8892 7200 bagi mengelakkan penularan berita palsu.

-- BERNAMA