Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini menyifatkan isu kebocoran kertas soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai kes polis tetapi sedia untuk menyiasat sekiranya melibatkan unsur rasuah.

"Sekiranya terdapat maklumat kemungkinan wujud unsur rasuah, pihak polis boleh memanjangkan kepada SPRM untuk tindakan," kata badan itu dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan itu juga, SPRM yakin polis akan menyiasat kes tersebut.

Kenyataan SPRM ini difahamkan adalah prosedur biasa protokol siasatan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang.

Bagi mana-mana kes yang disiasat oleh SPRM pun, sekiranya tiada unsur rasuah sebaliknya melibatkan jenayah di bawah kes polis, kertas siasatan kes tersebut akan dipanjangkan kepada pihak polis.

Terbaru, Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menerima laporan bahawa Kertas Peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi UPSR 2014 yang dijadualkan berlangsung pada tarikh 11 September telah didapati bocor.

Lembaga Peperiksaan dalam satu kenyataan berkata kertas peperiksaan Bahasa Inggeris yang dijadualkan pada Khamis dibatalkan.

Tarikh baru kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah pada 30 September.

Pada Rabu, Pengarah Peperiksaan Dr Na'imah Ishak berkata siasatan awal mendapati kandungan soalan bagi kertas peperiksaan sains telah tersebar menerusi media sosial.

Menurut Dr Na'imah, Lembaga Peperiksaan memaklumkan bahawa kertas peperiksaan Sains 018, 028, 038 bagi UPSR tahun 2014 yang dijadualkan pada 11 September 2014 ditangguhkan.

"Tarikh baharu bagi peperiksaan Sains 018, 028, 038 adalah pada 30 September 2014," katanya lagi.

Dalam satu laporan awal, Dr Na'imah turut menyatakan polis akan memulakan siasatan berhubung kebocoran kertas soalan Sains bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah mengikut peruntukan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.