Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan pemeriksaan ke atas sistem dan tatacara kerja berkaitan pengurusan barangan bebas cukai oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Zon Bebas Cukai susulan Operasi Khas pihaknya awal bulan ini.

Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Datuk Mohamed Yusoff Akope berkata, pihaknya juga telah mengadakan Bengkel Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia di enam zon sejak awal tahun ini.

Bengkel terakhir yang melibatkan zon tengah telah selesai diadakan pada minggu lalu, kata beliau.

Menurut beliau, CRM memberi penekanan ke atas sistem dan prosedur penguatkuasaan keluar masuk barang di pintu-pintu masuk utama negara iaitu pelabuhan, sempadan dan lapangan terbang, yang telah diwartakan oleh kerajaan.

"SPRM juga sedia untuk terus memberi khidmat nasihat kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia susulan Operasi Khas yang diadakan baru-baru ini," kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan media ini turut menyambut baik pendirian Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang mengumumkan bahawa pihaknya bakal melakukan rombakan besar-besaran melibatkan 13,000 anggota dan pegawainya di seluruh negara.

Menerusi operasi khas baru-baru ini, SPRM menahan 25 orang termasuk 13 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia dipercayai ada kaitan dengan penyeludupan keluar barang dari Zon Bebas Cukai tanpa membayar duti eksais.

Dalam kenyataan kepada sebuah akhbar harian hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, ia merupakan antara langkah diambil oleh pihaknya bagi memperbaiki sistem dan operasi jabatan tersebut.

Khazali berkata, langkah itu akan memantapkan pengurusan pihak berkuasa berkenaan selain dapat memelihara integriti kakitangan jabatan berkenaan.

Malah, Khazali juga dipetik berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah melihat beberapa perkara termasuk melibatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Jabatan Kastam Diraja Malaysia ketika ini yang memberi ruang kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Menurut Mohamed Yusoff, SPRM yakin langkah ini akan membantu Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengatasi kes-kes penyeludupan yang mendapat perhatian banyak pihak sekarang.

"SPRM juga menyambut baik pendirian Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota atau pegawai yang terlibat dalam salah laku disiplin termasuk rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Kata beliau, SPRM secara langsung dan tidak langsung telah membantu agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia meningkatkan kutipan hasil masing-masing, di samping mengelakkan ketirisan pendapatan kerajaan.

Laporan media sebelum ini menyebut bahawa Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah mengutip cukai sebanyak RM33.14 bilion pada 2013 berbanding RM32.2 bilion pada tahun sebelumnya. Pada 2008, jumlah cukai diperolehi Jabatan Kastam Diraja Malaysia ialah RM28.6 bilion, 2009 (RM25.9 bilion), 2010 (RM28.24 bilion) dan 2011 (RM30.4 bilion).

Katanya, SPRM yakin sistem dan prosedur Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan bertambah baik bagi mengelakkan ruang dan peluang rasuah dan penyelewengan, yang turut diambil kesempatan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.