Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng memfailkan laporan terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ini.

Memetik laporan New Straits Times (NST), Lim menggesa SPRM untuk menyiasat kes penjualan 64 bidang tanah kepada Yayasan Wilayah Persekutuan pada 2013.

“Saya memberitahu SPRM bahawa individu pertama yang harus mereka siasat ialah Tengku Adnan kerana beliau bertanggungjawab dalam meluluskan pembelian tanah tersebut.

“Beliau turut terlibat dalam yayasan tersebut. Sangat jelas bahawa ada konflik dalam isu ini.

“Mungkin juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan dan Datuk Bandar harus disiasat sekali kerana mereka juga sebahagian daripada yayasan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di pejabat SPRM di Jalan Cochrane, di sini.

Turut hadir bersama beliau adalah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Menurut Lim, sejak 2014, 64 lot tanah berukuran 171.71 hektar dan bernilai lebih RM4.28 billion itu telah dijual tanpa melalui proses tender terbuka.

Jelasnya, pembelian tanah tersebut bertujuan untuk membina rumah mampu milik namun setelah kaji selidik diadakan, mereka mendapati bahawa hanya sebahagian dari tanah-tanah tersebut hanya digunakan untuk pembinaan rumah mampu milik itu.

“Kami tidak mempunyai sebarang halangan untuk pembinaan rumah-rumah mampu milik ini namun kami ingin melihat proses jual beli yang telah dijalankan.

“Semua projek pembangunan ini telah diluluskan dan diteruskan superti biasa sementara semua yang dalam perancangan sudah dihentikan buat sementara waktu,” katanya.

Tambah Lim, mereka mahu SPRM melihat semula perjanjian pembelian tanah ini bagi memastikan ia dijalankan dalam proses yang sah termasuk menerusi tender terbuka.