KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat sahih berhubung isu permintaan dan pembayaran wang kepada seorang ahli politik supaya tampil membuat laporan rasmi.
Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan laporan rasmi perlu dibuat supaya siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh, telus, dan berasaskan fakta.
Advertisement
“SPRM juga mengambil maklum pelbagai dakwaan yang berlegar di media berhubung kes ini. Sehingga kini, tiada laporan rasmi diterima oleh SPRM berkaitan dakwaan tersebut, dan maklumat yang tular masih belum dapat disahkan,” menurut kenyataan itu.
SPRM menegaskan komitmennya untuk meneliti setiap maklumat yang diterima, dan sebarang tindakan hanya akan diambil berdasarkan bukti kukuh selaras dengan peruntukan undang-undang.
Sebelum ini, media melaporkan ahli perniagaan, Victor Chin, mendakwa seorang Ahli Parlimen meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu dihadapinya, namun baki RM500,000 tidak dibayar kerana masalah itu tidak diselesaikan.
Bagaimanapun, Chin kemudian menjelaskan bayaran tersebut bukan diberikan kepada Ahli Parlimen bagi menyelesaikan masalah, sebaliknya diberikan kepada ‘orang tengah’ sebagai ‘yuran perkhidmatan’.
-- BERNAMA