Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) tidak menggambarkan tindakan agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah habis-habisan di negara ini sejak 2017.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, SPRM secara konsisten membuat tangkapan dan pendakwaan setiap minggu dan tindakan lebih agresif dilakukan sepanjang 2017.

“Kalau kita lihat setiap minggu akan ada tindakan yang kami ambil dan kami juga telah membuat beberapa siri tangkapan yang berterusan pada 2017. Itu agak ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.

“2017 telah menunjukkan tindakan agresif yang telah kita ambil terhadap perasuah-perasuah di dalam negara ini.

“Apabila indeks ini dikeluarkan, kita melihat ia tidak menggambarkan tindakan yang telah kita lakukan,” katanya dalam sidang media khas Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah di sini, hari ini.

Sehubungan itu, SPRM melihat sudah tiba masanya Malaysia mempunyai indeks rasuah sendiri dan menubuhkan badan bebas bagi mengkaji secara terperinci kes rasuah di negara ini.

BACA: Indeks Persepsi Rasuah 2017: Tindakan agresif SPRM bantu skor CPI Malaysia


Kita tidak mahu indeks ini diukur dengan persepsi semata-mata tetapi berdasarkan fakta dan bukti


"Kita tidak mahu indeks ini diukur dengan persepsi semata-mata tetapi berdasarkan fakta dan bukti," tegasnya.

Menurut CPI yang dikeluarkan TI, kedudukan Malaysia dalam bagi tahun 2017 jatuh daripada tangga 55 kepada 62 daripada 180 buah negara dengan penurunan dua mata iaitu daripada 49 kepada 47.

Di peringkat ASEAN, Malaysia berada di tempat ketiga di belakang Singapura dan Brunei.