SPRM laksana Op Grip pulih hasil negara hilang

Sehubungan itu, SPRM mengetuai satu pasukan petugas khas yang melibatkan pelbagai agensi berkaitan untuk memperkukuh tindakan penguatkuasaan rentas bidang. - Foto SPRM
KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menjalankan siasatan rapi menerusi Operasi Grip (Op Grip), sebagai langkah memulihkan semula hasil negara yang hilang akibat ketirisan dan kegiatan elak cukai.
Ringkasan AI
- SPRM sedang menjalankan Op Grip bagi menyiasat ketirisan hasil negara dan kegiatan elak cukai serta memulihkan aset negara.
- Siasatan masih di peringkat awal tanpa tangkapan setakat ini kerana melibatkan analisis kewangan syarikat dan kes yang kompleks.
- Operasi dikendalikan secara bersama dengan agensi seperti BNM, LHDN dan Kastam bagi memperkukuh penguatkuasaan.
“Setakat ini, belum ada tangkapan susulan kerana kita masih meneliti semua data. Operasi ini baru dilancarkan kira-kira sebulan lepas dan siasatannya agak kompleks,” katanya.
Tambah beliau, fokus Op Grip bukan hanya untuk mendakwa kes rasuah atau salah guna kuasa, malah turut menekankan aspek pemulihan aset sebagai usaha mengembalikan hasil negara yang telah bocor.
“Ia bukan sekadar pertuduhan, tetapi melibatkan proses pemulihan aset bagi mendapatkan kembali hasil negara yang hilang akibat ketirisan cukai dan perlindungan tertentu,” katanya lagi.
Tan Sri Azam berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan ketirisan hasil negara boleh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu kegagalan kutipan hasil serta kehilangan disebabkan aktiviti haram bertujuan mengelakkan cukai.
Katanya, dalam banyak kes, pihak tertentu menggunakan pelbagai kaedah termasuk perisai perundangan dan struktur kewangan rumit bagi menyembunyikan keuntungan dan mengelak cukai.
Sehubungan itu, SPRM mengetuai satu pasukan petugas khas yang melibatkan pelbagai agensi berkaitan untuk memperkukuh tindakan penguatkuasaan rentas bidang.
Antara agensi yang terlibat ialah Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Kita mahu pastikan ketelusan dan integriti sistem kewangan negara sentiasa terjaga. Kerjasama antara agensi adalah penting untuk menjayakan operasi berskala besar seperti ini,” tegasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami