Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu melancarkan Portal Multilanguage dan MACC.FM, dua medium dalam talian sebagai antara usaha mendidik masyarakat mengenai rasuah dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap suruhanjaya itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali berkata dengan penambahbaikan tersebut, portal rasmi SPRM itu kini lebih mesra pengguna dan boleh diakses dalam tiga bahasa, iaitu Melayu, Inggeris dan Mandarin.

"Selain memudahkan carian pengguna, transformasi portal berbilang bahasa yang dibangun berdasarkan tiga fungsi teras iaitu Operasi, Pencegahan dan Pendidikan sebagai fokus dalam paparan itu turut menyediakan format laporan statistik yang lebih interaktif dengan menambah baik carian pantas arkib Maklumat Data Pesalah Rasuah secara automatik.

"Portal ini turut dilengkapi dengan laman mikro Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Anti Corruption and Ethics Centre (ACE) yang berkonsep pusat sehenti bagi memudahkan akses pengguna secara berpusat," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran itu di ibu pejabat SPRM di sini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) Datuk Shamshun Baharin.

Mustafar berkata penambahbaikan portal rasmi www.sprm.gov.my dibuat berdasarkan kepentingan medium itu dalam menyebarluaskan mesej pencegahan rasuah terus kepada kelompok sasaran iaitu untuk tahun ini dan sehingga Isnin lepas laman itu dikunjungi hampir lapan juta pengguna.

Mengenai radio MACC.FM, beliau berkata radio streaming yang dikendalikan sepenuhnya kakitangan suruhajaya bersama Unit Radio, Cawangan Elektronik di bawah Seksyen Penerbitan PenMas diyakini dapat memperkasakan lagi usaha penyebaran mesej antirasuah kepada masyarakat.

Mustafar berkata radio yang bersiaran 24 jam itu berfungsi menyebarkan maklumat dan informasi terkini mengenai SPRM menerusi iklan-iklan berbentuk kesedaran, temu bual atau wawancara bersama tokoh-tokoh berkaitan.

Medium ini juga digunakan selepas Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan SPRM 2015 mendapati 70 peratus responden mengakui memahami mesej rasuah yang disampaikan melalui radio, katanya.

Menggunakan tagline My Anti-Corruption Channel, MACC.FM boleh diikuti di www.macc.fm dan pautan www.sprm.gov.my, selain boleh dimuat turun menerusi aplikasi di Google Playstore dan Appstore.