KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan pernah membangkitkan atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menuduh bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin melakukan sebarang kesalahan.

Agensi anti rasuah itu berkata, pihaknya membuka kertas siasatan terhadap Daim pada Februari 2023 berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora.

"Pada 7 Jun lalu, satu notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) diserahkan kepada Daim yang mengkehendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

"Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai 2023; 10 Ogos 2023; 11 September 2023; 11 Oktober 2023 dan yang terakhir pada 14 November 2023 untuk mengisytiharkan segala aset miliknya," kata SPRM dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, ia berkata, sebagai sebahagian daripada proses siasatan, pendakwa raya mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham pada 18 Disember 2023, di bawah Seksyen 38 (1), Akta SPRM 2009 (Penyitaan Harta Tak Alih).

Jelasnya, Daim disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

"Bagaimanapun, berdasarkan prinsip undang-undang ‘anggapan tidak bersalah’ (presumption of innocence), seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya.

"Dan individu terlibat mempunyai peluang untuk membersihkan namanya sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah.

"Perlu ditegaskan bahawa, SPRM merupakan sebuah suruhanjaya bebas yang bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

"Sehubungan itu, SPRM menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut dan membenarkan siasatan diteruskan tanpa gangguan," katanya.