KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menyiasat anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Mirzan berhubung dakwaan pengubahan wang haram.

Siasatan ke atas ahli perniagaan terkemuka itu adalah susulan pendedahan Pandora Papers atau Kertas Pandora.

Sehubungan itu, Mirzan dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya  Rabu dan satu perintah notis diberikan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

"Notis itu mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut," kata SPRM dalam kenyataan, di sini pada Khamis.

SPRM menjelaskan, perintah itu adalah tindakan susulan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaa Mirzan yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kenyataan itu memberiitahu, siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Kenyataan itu turut menjelaskan SPRM memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Pandora Papers.

Sehingga kini, seramai 10 saksi telah dipanggil bagi tujuan dirakam percakapan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan.

Pada 10 Januari lalu, SPRM memanggil isteri dan dua anak lelaki bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin untuk memberi keterangan berhubungan pendedahan Pandora Papers.

Siasatan dipanggil Pandora Papers itu membabitkan kira-kira 600 wartawan termasuk The Washington Post, BBC dan The Guardian - berdasarkan pembocoran 11.9 juta dokumen sulit daripada 14 syarikat khidmat kewangan di seluruh dunia.

Pandora Papers antara lain menyebut kira-kira 12 individu Malaysia, termasuk empat ahli politik antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu.