Skip to main content

Malaysia

SPRM perlu kekal tegas, jangan tunduk tekanan politik - Rasuah Busters

Awani
Hussamuddin (tengah) berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu terus konsisten melaksanakan amanah memerangi rasuah secara habis-habisan tanpa mempedulikan kemelut peribadi atau dwi-standard yang cuba dimainkan pihak tertentu. - Foto/ Astro AWANI

SHAH ALAM: Institusi penguatkuasaan, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diingatkan agar tidak tunduk kepada sebarang tekanan politik atau sentimen pihak berkepentingan dalam menjalankan tugas memerangi jenayah rasuah di negara ini.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, SPRM termasuk Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki, perlu terus konsisten melaksanakan amanah memerangi rasuah secara habis-habisan tanpa mempedulikan kemelut peribadi atau dwi-standard yang cuba dimainkan pihak tertentu.

Advertisement

Beliau melahirkan kegusaran terhadap trend semasa di mana rakyat seolah-olah mudah terpedaya dengan pelbagai sentimen yang dimainkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga meminggirkan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Hari ini kita mudah terpengaruh dengan pelbagai sentimen yang dimainkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga kita lupa bahawa Malaysia ialah sebuah negara hukum yang berteraskan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan. 

"Kita mempunyai undang-undang dan tidak mengamalkan ‘rule of the jungle’. Namun, seolah-olah ada kecenderungan mengambil undang-undang di tangan sendiri, seakan terlupa bahawa negara ini dibangunkan atas prinsip kedaulatan undang-undang.

"Malangnya, undang-undang kini seolah-olah hanya menjadi hiasan apabila kuasa dan kepentingan tertentu mengatasi kepentingan rakyat. Seperti kita sudah hilang pertimbangan untuk membezakan yang betul dan yang salah, termasuk dalam isu salah guna kuasa.

"Dalam keadaan ini, undang-undang perlu memainkan peranan lebih penting kerana kecanggihan teknologi komunikasi menjadikan jenayah dan rasuah semakin mudah berlaku. Pengaruh dan salah guna kuasa boleh tercetus hanya melalui satu teks atau sekadar ‘menyampaikan salam’ dan itu sahaja sudah cukup menimbulkan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Malaysia Tanpa Rasuah, “Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat?” di Studio F Karangkraf, di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan mendesak untuk melaksanakan reformasi perundangan yang menyeluruh, termasuk pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi menghapuskan persepsi pendakwaan terpilih.

"Kita mahu melihat Malaysia yang adil. Tidak kira kaya, berpangkat, berkuasa atau rakyat biasa, sesiapa yang melanggar hukum perlu diheret ke muka pengadilan tanpa kompromi Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi ia mesti dapat dilihat dan dirasai oleh seluruh rakyat. 

"Apabila amalan pilih kasih ini dihentikan, barulah kita dapat menikmati keharmonian, kestabilan politik, ekonomi dan keberkatan negara," katanya.

Beliau turut mengingatkan para pembuat dasar supaya mengambil serius input daripada pertubuhan masyarakat sivil (CSO) yang telah menjalankan kajian mendalam selama bertahun-tahun mengenai reformasi sistem.

Beliau menyifatkan momentum reformasi ini sebagai peluang keemasan yang tidak akan datang berkali-kali bagi meninggalkan legasi yang bermaruah untuk generasi akan datang.

“Pemerintahan boleh bertukar ganti, namun nilai yang terkandung dalam undang-undang tetap menjadi asas kepada pembinaan sebuah Malaysia yang lebih baik. 

"Sama ada pihak kerajaan atau pembangkang, pandangan masyarakat sivil tidak seharusnya disia-siakan. Lakukan yang terbaik demi maruah generasi akan datang dan maruah Malaysia,” katanya.

Must Watch Video