PETALING JAYA: Seorang pelajar lelaki yang ketika kejadian merupakan murid Tingkatan Satu kelas peralihan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis atas satu pertuduhan membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Oktober tahun lalu.
Pelajar berkenaan yang kini berusia 15 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca semula dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Adlin Abdul Majid.
Advertisement
Prosiding dijalankan secara tertutup dan hanya keluarga remaja berkenaan dibenarkan berada di bilik bicara kerana melibatkan kes juvana.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh seorang pelajar Tingkatan Tiga kelas peralihan di bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama dekat sini antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan jika tidak dihukum gantung.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz serta Zamariah Zarifah Aris.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, peguam Kitson Foong yang mewakili remaja itu berkata, penama membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan semula.
“Anak guam memahami pertuduhan berkenaan dan minta dibicarakan, jadi mahkamah menetapkan 6 Mac depan untuk pengurusan kes seterusnya.
“Pada prosiding berkenaan, mahkamah akan menetapkan beberapa tarikh perbicaraan kes terbabit,” katanya.
Peguam itu berkata, pembelaan menjangkakan prosiding hanya akan berlangsung selama 14 hari sekitar Julai depan kerana pihak-pihak tidak mahu memanjangkan kes.
Beliau berkata, dalam prosiding sama, mahkamah memutuskan hanya pihak pembelaan tertuduh dan barisan pendakwaan dibenarkan mengikuti perbicaraan kelak.
Katanya, hakim turut memberi kebenaran kepada dua peguam pemerhati mewakili Majlis Peguam Malaysia serta Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) berada di kamar mahkamah ketika prosiding.
“Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan kehadiran peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa kerana ada kemungkinan ahli keluarga itu dipanggil memberi keterangan sebagai saksi dalam kes tersebut.
“Jadi hanya sebilangan pihak sahaja akan berada di mahkamah demi mengelak daripada mengganggu ketenteraman mental penama,” katanya.
Beliau berkata, sementara menunggu perbicaraan kes, anak guam ditempatkan di penjara kanak-kanak iaitu Pusat Koreksional Puncak Alam di sini.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah itu selepas ditikam berulang kali.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya diberitahu laporan psikiatri mengesahkan remaja itu layak dibicarakan. - Sinar Harian