PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri antara empat individu yang akan dipanggil berhubung siasatan proses dan tatacara perbelanjaan kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022, yang menggunakan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, mereka akan dipanggil selewat-lewatnya pada minggu depan.

"(Kita akan panggil mereka) minggu ini, atau paling lewat pun minggu depan. Tapi as for now, only one (tapi setakat ini, hanya satu).

"Kita akan panggil Perdana Menteri, mantan dan pegawai-pegawai beliau," katanya kepada pemberita selepas Simposium Tata Kelola Baik Nasional 2024 di sini, pada Isnin.

Majlis yang diadakan serentak dengan peluncuran Arahan Perdana Menteri No.1 Tahun 2023: Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Azam memberitahu, siasatan pada ketika ini tertumpu kepada bagaimana dana itu dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

"Apa yang penting, kita nak tengok bagaimana duit tersebut dibelanjakan. Bukan kepada bagaimana dana tersebut diputuskan atau diluluskan tetapi (siasatan) berkaitan bagaimana wang tersebut dibelanjakan dan syarikat-syatikat yang dapat," tambahnya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi tujuan itu SPRM akan memanggil sekurang-sekurangnya empat individu untuk dirakamkan percakapan. 

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Persekutuan membelanjakan sehingga RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Perbelanjaan berkenaan digunakan dua pentadbiran terdahulu dalam menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan.

Terdahulu, SPRM dilaporkan berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengenai perbelanjaan itu, malah akan memanggil bekas pemimpin tertinggi kerajaan berhubung siasatan itu.

Baru-baru ini polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana RM700 juta oleh dua kerajaan terdahulu untuk iklan dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.

SPRM juga mengesahkan sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kes itu.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum itu menulis di catatan media sosial X, berhubung perbelanjaan itu dan berkata, rakyat berhak tahu bagaimana RM700 juta bagi iklan dan publisiti dibelanjakan oleh dua kerajaan terdahulu.