PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah menerima nama pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipercayai terlibat meminta sejumlah wang bagi kelulusan permohonan warganegara.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan meneliti semua maklumat yang diterima itu terlebih dahulu sebelum siasatan selanjutnya dilakukan.

"Nama itu (pegawai JPN) telah diberi dan pegawai saya sudah menerima nama itu.

"Apa-apa pun, biar saya periksa dahulu maklumat itu termasuk berapa ramai dan sebagainya.

"SPRM pastinya tidak akan menangguhkan siasatan berhubung kes ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM 2023 dan majlis pelancaran aplikasi TikTok SPRM pada Rabu.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang akhbar berasingan mengesahkan sudah menyerahkan nama seorang pegawai JPN bagi membantu siasatan kes rasuah permohonan kewarganegaraan itu.

Saifuddin memaklumkan bahawa nama pegawai JPN yang meminta sogokan itu sudah diserahkan kepada SPRM pada Rabu.

Jelas Saifuddin, tidak ada sebarang pembayaran dikenakan dalam semua urusan permohonan kewarganegaraan dan pemohon tidak perlu melayan sebarang bentuk permintaan pembayaran.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujudnya amalan salah laku dalam kalangan pegawai JPN berhubung permohonan kewarganegaraan.

Sementara itu, mengulas berhubung isu ahli politik melindungi sindiket judi dalam talian pula, Azam berkata, kes itu masih dalam siasatan dan maklumat berkaitan kes itu tidak boleh dikongsikan pada masa ini.

"Pegawai-pegawai saya sedang mendapatkan maklumat dan mengambil keterangan berhubung perkara ini," ujarnya.

Sebelum ini, Azam mengesahkan lebih daripada seorang ahli politik disyaki melindungi kegiatan judi haram dalam talian di negara ini dan ia kini dalam radar siasatan SPRM.

Pada 15 Jun lalu, Saifuddin ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian haram di negara ini dinaungi pemimpin politik, dan ia menjadi kekangan terbesar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan untuk membanteras jenayah itu.

- Sinar Harian