Skip to main content

Malaysia

SPRM tahan tiga individu disyaki kemuka dokumen palsu RM20 juta

TB_ SPRM 20 JUTA_SPRM
Seorang suspek diiring pegawai SPRM selepas hadir ke Mahkamah Majistret Alor Setar bagi permohonan reman berhubung siasatan kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu.
Advertisement

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk dua pengarah syarikat pengeluar dan pemproses padi serta beras kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu kepada sebuah institusi kewangan pembangunan bagi mendapatkan dana Kemudahan Modal Kerja Perdagangan-I (Trade Working Capital Financing) berjumlah kira-kira RM20 juta.

Menurut sumber, seorang daripada tiga suspek telah direman selama lima hari sehingga 11 Julai selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Eliana Ismail susulan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar pada pagi Selasa.

“Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu yang juga merupakan pengurus operasi telah ditahan kira-kira jam 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Alor Setar, Kedah,” kata sumber.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang merupakan ahli keluarga dipercayai bersubahat melakukan perbuatan berkenaan pada tahun 2025.

“Bagaimanapun dua lagi suspek lelaki berusia lingkungan 60-an yang merupakan pengarah syarikat telah dibebaskan dengan jaminan SPRM,” tambah sumber.

Menurut sumber lagi, kesemua suspek dipercayai mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu kepada institusi kewangan pembangunan berkenaan bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan untuk pembelian padi dan beras.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati urusan pembelian padi dan beras yang dinyatakan dalam permohonan tersebut dipercayai tidak pernah berlaku.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan kesalahan mengemukakan tuntutan atau dokumen yang mengandungi butir matan palsu dengan niat untuk memperdayakan.

 

Must Watch Video

Advertisement