PUTRAJAYA: Warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) perlu berubah daripada segi pendekatan dan tidak boleh mengikut cara lama dalam menyampaikan atau mencari maklumat, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Berucap pada Majlis Malam Anugerah Media SPRM di sini hari ini, Azam berkata media yang sering menjadi rujukan suruhanjaya itu, juga tidak boleh berada di "takuk lama" dan perlu berani mencuba atau meneroka (pelbagai medium) untuk mendapatkan maklumat sebenar.

"Saya sering menasihati pegawai-pegawai saya agar menjadi 'muda mengikut zaman' atau dalam erti kata lain sentiasa mengikut trend teknologi semasa," katanya yang mahu warga SPRM sentiasa peka dan mahir menggunakan teknologi terkini dalam penyampaian maklumat agar jelas kepada masyarakat.

Azam berkata media merupakan perantara yang amat penting dalam memainkan peranan sebagai penghubung antara pemerintah dan rakyat dengan jambatan perantara itulah yang membolehkan maklumat mengalir secara dua hala.

Beliau berkata kuasa media sebagai tunjang keempat demokrasi mampu memantau, mendidik, memberi amaran malah mendedahkan kepincangan atau salah laku yang berlaku dalam kerajaan dan masyarakat.

"Kuasa media mampu mewujudkan persepsi, baik positif atau negatif, serta mampu mengalih atau menumpukan perhatian terhadap individu atau sesuatu isu," katanya.

Sementara itu, wartawan Berita Harian (BH) Ilah Hafiz Aziz dinobatkan pemenang utama kategori media cetak menerusi laporannya "Pelan Antirasuah Nasional" dan membawa pulang wang tunai RM6,000, plak dan sijil.

Turut menerima Anugerah Juri 1 bagi kategori sama menerusi laporan "Kolam Takungan Banjir" dihasilkan Ilah Hafiz dan seorang lagi wartawan BH, Suzalina Halid. Mereka membawa pulang hadiah RM4,000 bersama plak dan sijil.

Anugerah Juri 2 bagi kategori media cetak pula dimenangi wartawan Sinar Harian Muhammad Shamsul Abd Ghani dengan tajuk laporannya"'Kontroversi Caj Jenazah". Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, sijil dan plak.

Bagi kategori media elektronik, TV3 merangkul hadiah utama menerusi laporan "SPRM Gempur Premis Elektronik Lombong Bitcoin" yang dihasilkan oleh pengarang, Ing Boon Seng dan wartawan, Juliana Sharin serta jurukamera, Jufri Jidin. Mereka membawa pulang wang tunai RM6,000, plak dan sijil.

Wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Nurul Asmawati Harun memenangi Anugerah Juri Kategori Media Elektronik menerusi berita "Budaya Antirasuah Perlu Dipupuk Lebih Meluas". Beliau membawa pulang wang tunai RM4,000, sijil dan plak.

-- BERNAMA