PUTRAJAYA: Tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dibatalkan susulan kegagalan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendedahkan jawatannya selaku setiausaha syarikat dan ketua penasihat undang-undang kumpulan Maybank pada 2012.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdulah yang mewakili Najib berkata, sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan maka pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk mengadakan perbicaraan semula.

Beliau tidak menjelaskan lanjut mengenai permohonan itu, namun katanya, akan dihantar secepat mungkin sejurus mendapat kebenaran.

"Perbicaraan sudah berjalan untuk tempoh yang lama, juga melibatkan pembaziran wang dan tenaga. Tapi ini adalah alternatif.

"Mohd Nazlan sepatutnya menarik diri daripada mendengar kes penyelewengan SRC kerana wujud konflik kepentingan dan beliau akan menjadi saksi dalam perbicaraan kes 1MDB," katanya ketika ditemui pemberita di Istana Kehakiman di sini, pada Selasa.

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan yang sebelum ini merupakan hakim Mahkamah Tinggi mensabitkan dan mengenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mahkamah mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pada 8 Disember tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menolak rayuan Ahli Parlimen Pekan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 3 Februari lalu, Mohd Nazlan dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan

Mohd Nazlan pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Kehakiman bermula 10 April 2015 sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 30 Januari 2017.

Sebelum ini, Muhammad Shafee menjelaskan, ada dakwaan berhubung peranan Mohd Nazlan dalam pinjaman dana oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Maybank bagi pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (Tanjong).

Menurutnya, terdapat lebih RM4 bilion pinjaman Maybank kepada 1MDB untuk pengambilalihan Tanjong yang melalui pelbagai proses, jawatankuasa risiko dan keseluruhan lembaga (Lembaga Pengarah Maybank).

Beliau mendakwa, salah seorang ahli jawatankuasa yang mendapatkan arahan adalah Mohd Nazlan, iaitu ketua undang-undang, penasihat undang-undang kumpulan dan ketua bahagian korporat serta undang-undang.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan berasingan Najib, iaitu untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir kes SRC membabitkan dakwaan bahawa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya bekerjasama dalam rancangan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.