KUALA LUMPUR: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menubuhkan tabung 'hibah Abah' sebagai solidariti bagi membantu Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tabung tersebut diedarkan kepada 450 perwakilan dalam Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu Malaysia 2022.

Tabung itu adalah sebagai sokongan kepada parti dan Muhyiddin yang didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa.

Bekas Perdana Menteri itu didakwa menggunakan kedudukan untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Bagi dua lagi pertuduhan, Muhyiddin juga didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu pada 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Bagaimanapun, pada Jumaat, Muhyiddin Yassin selesai membayar wang ikat jamin sebanyak RM2 juta di kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Sesyen di sini menerusi dua penjamin, iaitu dua anaknya. -Sinar Harian