NATIONAL
SSM umum empat inisiatif baharu bertujuan memperkukuh ekosistem perniagaan negara

Armizan berkata, empat inisiatif itu diperkenalkan untuk memperkukuhkan ekosistem perniagaan negara serta meningkatkan tahap pematuhan korporat. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan e-advertisement Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berdasarkan Seksyen 76A Akta Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) (Pindaan) 2024 antara empat inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh SSM untuk tahun 2025.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, empat inisiatif itu diperkenalkan untuk memperkukuhkan ekosistem perniagaan negara serta meningkatkan tahap pematuhan korporat, mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh komuniti perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Melalui inisiatif pertama, PLT yang ingin melaksanakan penggulungan secara sukarela kini boleh menyiarkan notis melalui platform e-advertisement SSM dengan bayaran hanya RM500.
"Notis tersebut boleh diterbitkan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau kedua-duanya, dan akan dipaparkan selama tujuh hari di laman web rasmi SSM bagi memastikan capaian meluas kepada pihak berkepentingan,"Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kos syarikat bagi memenuhi keperluan pengiklanan dengan alternatif yang lebih murah serta menangani isu keterbatasan edaran akhbar fizikal yang tidak meliputi seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu kata Armizan, inisiatif kedua ialah penawaran pengurangan kompaun sehingga 95 peratus daripada nilai asal dan pengurangan fi e-Advertisement SSM kepada RM100 bagi PLT yang layak, tertakluk kepada permohonan yang dikemukakan sebelum atau pada 30 September 2025.
"Inisitiaf ini khusus bagi permohonan penggulungan sukarela di Bawah Seksyen 50 Akta PLT 2012, melibatkan PLT yang tidak lagi beroperasi dan telah dikenakan kompaun dan ketidakpatuhan seperti kegagalan menyerah simpan Perakuan Tahunan," ujarnya.
Katanya lagi, inisiatif ketiga pula melibatkan pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kepada syarikat yang layak untuk memohon pemotongan nama di bawah Seksyen 550 Akta Syarikat 2016.
Sementara itu jelas Armizan, inisiatif keempat merupakan penawaran pengurangan kompaun sebanyak 95 peratus daripada nilai asal kepada syarikat yang layak untuk memohon pemotongan nama di bawah Seksyen 550 Akta Syarikat 2016.
"Syarikat yang tidak lagi beroperasi atau tidak berhasrat meneruskan perniagaan dan telah dikenakan kompaun atas kegagalan menyerah simpan Penyata Tahunan, Penyata Kewangan atau ketidakpatuhan lain, kini boleh tampil secara sukarela untuk memohon pemotongan nama dari daftar SSM dan tawaran ini juga terbuka sehingga 30 September 2025," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, SSM juga akan meneruskan pelaksanaan inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini antaranya eperti pelaksanaan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP).
"Skim ini membolehkan pengecualian fi pendaftaran bagi tahun pertama kepada usahawan daripada kumpulan B40, pelajar sepenuh masa institusi pengajian tinggi serta pasangan kepada usahawan B40.
"Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) turut diteruskan dengan menawarkan pengecualian fi pendaftaran dan pembaharuan perniagaan bagi memberi peluang kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menceburi bidang perniagaan secara sah di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956." katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami