Khairy Jamaluddin antara pemimpin BN yang paling lantang menolak cukai jualan dan perkhidmatan (SST), bagaimanapun beliau mengambil pendekatan ‘berdiam diri’ di hari pertama pelaksanaan cukai itu.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau akan menunggu sehingga beberapa minggu sebelum memberikan sebarang komen.

“Saya akan tunggu. Biarkan beberapa minggu berlalu. Biarkan orang ramai menyedari harga naik dan biarkan mereka ‘berbunyi’,” katanya di laman Twitter, hari ini.

Khairy turut mengingatkan agar tidak terkeliru antara caj perkhidmatan dengan cukai perkhidmatan.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata, cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak perlu dimansuhkan.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar cukai itu diteruskan dengan kadar lebih rendah yang dapat memberi hasil sama kepada kerajaan dengan sistem percukaian lebih cekap.