SHAH ALAM: Stadium Shah Alam bakal dirobohkan mengikut jadual ditetapkan atau selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek tersebut kini di fasa menunggu kebenaran merancang untuk diluluskan.

"Stadium akan diroboh awal atau akhir Oktober, kalau tidak mungkin awal November. Itu sasaran kita.

"Insya-Allah, kita akan mulakan perobohan tahun ini dan akan siap pada 2026," katanya semasa Ekspo Hartanah Selangor anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor di Central I-City di sini pada Sabtu.

Amirudin sebelum ini memaklumkan proses perobohan Stadium Shah Alam bakal bermula awal Oktober ini selepas terpaksa ditangguhkan dari jadual asal iaitu bermula bulan ini atas sebab-sebab tertentu.

Katanya, walaupun proses permulaan bermula sedikit lewat namun, jangkaan siap sepenuhnya masih pada 2026.

Stadium Shah Alam yang juga bangunan ikonik terletak di Seksyen 13 itu mula dibuka pada 1994 sebelum ditutup pada 2020 berikutan berhadapan pelbagai masalah terutama membabitkan bumbung stadium.

Stadium tersebut yang merupakan rumah kepada Selangor FC akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Projek dianggarkan RM787 juta itu boleh memuatkan kira-kira 35,000 hingga 45,000 penonton yang turut dilengkapi pelbagai kemudahan.

Stadium yang mempunyai ciri-ciri moden itu juga boleh menjadi 'venue' acara dalaman kerana padang terbabit mempunyai teknologi 'retractable pitch' iaitu bertukar daripada mod sukan kepada acara dalaman.

Selain itu, aspirasi stadium itu memberi kemudahan kepada aktiviti sukan dan rekreasi berasaskan komuniti, kelestarian dan keusahawanan. - Sinar Harian