Skip to main content

Politik

UMNO setuju kerjasama dengan PN, manifesto bersama BN-PN

Selain mengesahkan kerjasama politik, UMNO turut bersetuju supaya BN dan PN menggunakan satu manifesto bersama bagi menawarkan perkhidmatan kepada rakyat serta meneruskan pembangunan negeri. - Abdul Wafi Norazmi
Selain mengesahkan kerjasama politik, UMNO turut bersetuju supaya BN dan PN menggunakan satu manifesto bersama bagi menawarkan perkhidmatan kepada rakyat serta meneruskan pembangunan negeri. - Abdul Wafi Norazmi

Advertisement

KUALA LUMPUR: UMNO bersetuju mengesahkan kerjasama politik dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, termasuk menerusi pelancaran manifesto bersama Barisan Nasional (BN) dan PN.

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini, menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan.

Menerusi keputusan itu, UMNO turut mengarahkan seluruh jentera dan penyokong parti supaya memberikan sokongan penuh kepada calon-calon PN yang akan bertanding pada PRN berkenaan.

“Bersetuju sebulat suara untuk mengabsahkan kerjasama dan persefahaman politik dengan rakan strategik Pas dan rakan-rakan daripada Perikatan Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri Melaka ke-16,” menurut kenyataan itu.

Selain mengesahkan kerjasama politik, UMNO turut bersetuju supaya BN dan PN menggunakan satu manifesto bersama bagi menawarkan perkhidmatan kepada rakyat serta meneruskan pembangunan negeri.

Mengulas perkara itu pada sidang media, Asyraf menjelaskan kedua-dua gabungan tidak akan menggunakan manifesto berasingan.

“Manifesto itu satu sahaja. Tidak ada lagi seperti sebelum ini. Manifesto, semua bersama-sama. Itu yang telah diputuskan,” katanya.

Beliau berkata pelancaran manifesto berkenaan dirancang pada sebelah petang selepas hari penamaan calon, namun sebarang perubahan akan dimaklumkan kemudian.

“Insya-Allah, kita akan merancangnya pada sebelah petang selepas penamaan calon. Jika ada perubahan, kita akan maklumkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, UMNO menyeru pemimpin dan jentera parti supaya berkempen secara berhemah serta berakhlak, tanpa terjebak dalam perbuatan memfitnah, mengeji atau memaki hamun parti lawan.

PRN Melaka ke-16 dijadualkan berlangsung pada 14 November, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober.

Must Watch Video

Advertisement