KOTA KINABALU:Pesakit COVID-19 atau individu yang menjalani saringan tidak dikategori mengikut bangsa mahupun agama di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata, data dan statistik berkaitan COVID-19 di Sabah hanya mempunyai kategori warganegara dan bukan warganegara sahaja.

"Apabila ditanya (ada soalan) mengenai dapatan fakta kes berdasarkan komposisi kaum atau agama di Sabah, saya ingin menjawabnya dengan cara yang baik.

"Sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Sabah iaitu kami tidak menilai atau meletakkan kategori tertentu pada sesuatu perkara mengikut bangsa atau agama.

"Jadi apabila saya menjawab soalan ini, ia sememangnya tidak ada maksud lain selain tujuan dapatan dari sudut sains dan maklumat awam," katanya pada sidang media maya laporan harian COVID-19 di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan data terkini jangkitan COVID-19 di negeri itu mengikut komposisi kaum.

Dalam jawapan tersebut Masidi menjelaskan dalam tempoh 1 Oktober sehingga 1 Disember, Sabah telah melaporkan sebanyak 27,043 kes positif COVID-19.

Daripada jumlah itu 21,562 orang merupakan warganegara manakala 5,481 orang lagi adalah bukan warganegara.

Mengikut jantina pula, seramai 15,343 orang merupakan lelaki manakala 11,700 orang adalah wanita dan daripada jumlah itu 5,919 orang berumur di bawah 18 tahun manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun adalah seramai 3,478 orang.

"Jangkitan melibatkan bayi di bawah umur 1 tahun pula adalah seramai 234 orang dan sepanjang tempoh itu sebanyak 214 kematian COVID-19 telah dilaporkan.

Pada Rabu jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 229 kes dengan dua kes kematian direkodkan di Kota Kinabalu.

Daripada 229 kes positif COVID-19 tersebut 104 kes adalah berpunca daripada saringan kontak rapat, 39 kes daripada saringan kluster baharu dan sedia ada, saringan bergejala 39 kes, saringan komuniti 25 kes dan 22 kes adalah dari lain-lain kategori.